Antara model hibrid Toyota Prius C TRD Sportivo yang dipasarkan di negara ini.
Antara model hibrid Toyota Prius C TRD Sportivo yang dipasarkan di negara ini.

Kuala Lumpur: Toyota Motor Corporation (TMC) mengumumkan jualan global kenderaan hibridnya melebihi tujuh juta unit sehingga 30 September lalu dengan jumlah keseluruhan 7.053 juta unit yang mana ia kejayaan paling cepat bagi syarikat terbabit dalam tempoh sembilan bulan.

Pengeluar kenderaan dari Jepun itu menjual 27 model kenderaan penumpang hibrid yang berbeza pada Oktober dan sebuah model hibrid ‘plug-in’ di lebih 90 negara dan wilayah selain merancang pelancaran sebanyak 15 kenderaan hibrid baru dalam tempoh awal tahun ini hingga akhir tahun depan.

“Antara model yang bakal dilancarkan termasuk ‘Voxy Hybrid’ dan ‘Noah Hybrid’ (Jepun saja) pada Januari depan, Lexus NX 300h pada Julai dan Lexus RC 300h menjelang separuh kedua Oktober ini,” kata TMC dalam kenyataan di sini, semalam.

Toyota dijangka terus mempelbagaikan barisan kenderaan hibrid dan meningkatkan jumlah negara dan rantau yang menjual kenderaan hibrid di mana penurunan kesan alam sekitar daripada kereta adalah keutamaan bagi Toyota melalui galakan penggunaan besar-besaran bagi pasaran kenderaan hibrid.

“Berdasarkan pengiraan sehingga 30 September lalu, kenderaan hibrid Toyota menghasilkan kira-kira 49 juta tan kurang daripada pelepasan karbon dioksida (CO2) yang dipercayai menjadi penyebab utama kepada pemanasan global berbanding kenderaan dijana petrol dengan ukuran dan prestasi pemanduan sama.

“Selain itu, kami menganggarkan kenderaan hibrid akan menjimatkan kira-kira 18 juta kiloliter petrol berbanding jumlah kegunaan oleh kenderaan yang dijana petrol dalam ukuran sama,” katanya.

Toyota mula melancarkan kenderaan hibrid iaitu Coaster Hybrid EV pada Ogos 1997 dan kenderaan penumpang hibrid pertama di dunia pada tahun sama dan sejak itu, kenderaan hibrid jenama itu mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna global.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:07 AM