KILANG pemasangan Toyota di Bukit Raja.
KILANG pemasangan Toyota di Bukit Raja.
Lizam Ridzuan


KENDERAAN jenama Toyota mula dipasang di negara ini sejak 52 tahun lalu menerusi model Corolla KE10 di kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor.

Seiring perkembangan teknologi dan kelestarian alam sekitar, UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar dan pemasang kenderaan Toyota di Malaysia mengumumkan hala tuju baharu jenama itu yang berkait rapat dengan perancangan industri automotif negara.

Timbalan Pengerusi UMWT Akio Takeyama berkata, arah tuju global Toyota juga selari aspirasi kerajaan Malaysia dalam mempromosikan lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mampan.

"Ini adalah waktu terbaik dan menarik untuk industri automotif di Malaysia dan UMWT bersedia menjadi pelopor kepada impian ini.

"Untuk mencapainya dengan usaha paling realistik, praktikal dan pantas adalah melalui teknologi kenderaan hibrid elektrik (HEV) Toyota kerana permintaannya semakin berkembang yang juga membawa perubahan ekosistem keseluruhan industri di Malaysia," katanya.

Ia juga bakal membuka jalan dan menjadi perintis untuk pengeluaran kenderaan HEV secara besar-besaran sebagai salah satu usaha mengurangkan pelepasan gas karbon pada kenderaan dan seterusnya alam sekitar.

Pelaburan RM270 juta diperuntukkan untuk meluaskan operasi dan kemudahan pengeluaran sedia ada di kilang di Bukit Raja selain pengenalan barisan model generasi kenderaan teknologi termaju untuk model itu di Malaysia.

"Model ini juga lebih ekonomi dan praktikal yang mana kajian turut menunjukkan pembebasan CO2 untuk hibrid penuh dan HEV adalah hampir sama, termasuk mengambil kira aspek pengeluaran sehingga kepada pemilikan.

"Untuk pembeli di Malaysia, ia juga sebagai peralihan era baharu permotoran yang menyediakan capaian teknologi terkini dan inovatif dan lebih penting, akan ditawarkan pada harga lebih berpatutan," katanya.

Presiden UMWT Ravindran K berkata, pandemik Covid-19 menjadikan situasi sangat mencabar, namun kerajaan memainkan peranan utama untuk sokongan pertumbuhan industri automotif di negara ini.

TOYOTA Camry Hybrid 2015.
TOYOTA Camry Hybrid 2015.

"Pengenalan teknologi hibrid sebagai teknologi masa depan dengan HEV dijangka mendapat sokongan sepenuhnya daripada badan berkaitan dan kami berharap usaha UMWT ini akan disertakan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Nasional berserta kenderaan bateri-elektrik yang selari dengan perancangan kerajaan," katanya.

Semua usaha ini dipacu oleh komitmen daripada Toyota Motor Corporation (TMC) dengan membawakan motto 'mobiliti untuk semua' serta melahirkan 'keriangan untuk semua' ke arah membentuk 'masyarakat bersih dan selamat' yang menyasarkan semua kenderaannya bebas karbon dioksida (C02) menjelang 2050.

Ia bukan sahaja pada kenderaan, malah proses pengeluaran di kilang, pengangkutan, operasi, bahan api atau pengecasan serta kitar semula bahkan pelupusan kenderaan, semuanya ke arah mengurangkan pembebasan karbon.

Penghasilan kenderaan mesra alam jenama Toyota juga bukan sesuatu yang asing kerana ia dimulakan sejak 20 tahun lalu.

Lebih 17 juta unit terjual terdiri daripada kenderaan HEV, kenderaan plug-in hibrid elektrik (PHEV), kenderaan bateri-elektrik (BEV) serta kenderaan fuel-cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia.

Ia juga adalah sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan 140 juta CO2 yang juga bersamaan sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensional untuk tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:45 AM