Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Timbalan Pengarah Bahagian Pendakwaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), maut dalam kemalangan di Senawang, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Mangsa Azli Yaakob, 39, memandu Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan ke Senawang dari rumahnya di Taman Tuanku Jaafar (TTJ), di sini, sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, Proton Saga yang dinaiki tiga lelaki berusia 19 hingga 25 tahun dari arah Senawang ke TTJ dipercayai mabuk cuba memotong sebuah motosikal dan kereta menyebabkan berlaku pertembungan dengan kereta dipandu Azli yang datang dari arah bertentangan.

Sepasukan bomba berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa yang mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, bagaimanapun Azli disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala tiga lagi mangsa stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil keterangan tiga mangsa terbabit termasuk melakukan ujian darah terhadap pemandu yang disyaki mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 4:02 PM