ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO Mohd Amin Jalil
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran stesen minyak Ampangan di sini, hari ini.

Mangsa yang maut pemandu Perodua Kancil, Zahar Ruddin Zulkifli, 26, manakala pemandu Proton Saga, Wong Siong, 76, dan penumpang wanita Lai Moi, 76, cedera dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian 6.30 pagi itu berlaku apabila Proton Saga dari arah Seremban ke Kuala Pilah tiba-tiba terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dipandu Zahar Ruddin.

"Kejadian itu menyebabkan Zahar Ruddin yang berasal dari Taman Tasik Jaya tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke HTJ untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 2:10 PM