KEADAAN kedai kimpalan yang musnah dalam kebakaran.
KEADAAN kedai kimpalan yang musnah dalam kebakaran.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Tindakan pantas pekerja kedai aksesori kereta menghubungi bomba, menyelamatkan sebuah premis kimpalan daripada musnah dalam kebakaran di Taman Bukit Sri Senawang, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pekerja terbabit melihat kepulan asap tebal keluar dari kedai kimpalan yang terletak bersebelahan sebelum bertindak menghubungi pemilik dan bomba.

Pemiliknya, Hijat Mohd Noor, 47, berkata dia terkejut sebaik menerima panggilan lalu bergegas ke kedainya yang dijadikan pejabat dan stor penyimpanan bahan kimpalan.

“Sebaik tiba, beberapa pekerja kedai aksesori kereta sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran menggunakan air tetapi tidak berhasil. Beberapa minit kemudian bomba tiba dan memadamkan kebakaran itu.

“Kebakaran berlaku di bahagian pejabat, manakala bahagian stor selamat. Kejadian itu mengakibatkan saya mengalami kerugian lebih RM100,000. Bagaimanapun, saya bersyukur kebakaran tidak merebak dan tiada kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hijat yang menetap di Taman Tuanku Jaafar (TTJ), berkata premis perniagaannya itu baru beroperasi enam bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Mohd Fadzli Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasa jam 10.06 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta Seremban dikejarkan ke lokasi.

“Seramai 16 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 30 minit dan premis musnah 45 peratus.

“Siasatan lanjut masih dijalankan namun, kita tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari litar pintas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:05 AM