Oleh Zaitie Satibi


Masalah pendengaran adalah kecacatan saraf yang paling kerap berlaku dalam kalangan manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan kira-kira 360 juta orang di seluruh dunia mengalami kehilangan pendengaran.

Kehilangan pendengaran berlaku sama ada sejak dilahirkan, jangkitan dalam kandungan atau komplikasi ketika dilahirkan, jangkitan virus, kesan sampingan ubatan, terdedah kepada bunyi bising berlebihan dan penuaan.

Mereka yang mengalami masalah dibantu dengan alat pendengaran, implan koklea, bahasa isyarat dan sokongan sosial walaupun sebahagian daripada punca masalah itu boleh dielakkan.

Daripada keseluruhan jumlah direkodkan, kira-kira 36 juta orang adalah kanak-kanak apabila tahap kehilangan pendengaran mereka dicatatkan lebih 30 desibel (dB). Walaupun ukuran kekuatan bunyi bagi kanak-kanak itu masih dalam kategori ringan, rawatan wajar perlu dilakukan bagi mengelak komplikasi akibat masalah pendengaran.

Pakar Audiologi Kanan Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Darleena Abdul Aziz berkata, kehilangan pendengaran menjejaskan peluang kanak-kanak untuk belajar berkomunikasi secara mendengar dan bertutur mengakibatkan mereka gagal berinteraksi dengan orang di sekeliling.

“Ini kerana, kanak-kanak mula belajar bercakap dan memahami bahasa melalui bunyi yang didengarnya sejak dilahirkan hingga berusia empat tahun dan jika dalam tempoh kritikal itu mereka mengalami masalah pendengaran ia menghalang proses perkembangan bahasa dan pertuturan.

“Itu menyebabkan kebolehan kanak-kanak mendengar bunyi berkurangan mengakibatkan perkembangan bahasa dan pertuturan terhalang serta menjejaskan peluang untuk ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan, katanya”.

Darleena yang juga Presiden Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia (MANSA) berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Audiologi 2015 anjuran PCMC dengan kerjasama persatuan berkenaan dan MKS Medic di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar itu bertujuan menambah pengetahuan pakar audiologi mengenai amalan piawaian terbaik untuk penilaian dan pemulihan perkhidmatan audiologi seiring teknologi terkini. Penganjur turut menjemput pakar audiologi antarabangsa, Profesor Dr James W Hall III, yang berpengalaman selama 40 tahun sebagai penceramah.

Darleena berkata, amat penting ibu bapa menjalankan ujian saringan pendengaran kepada bayi mereka yang baru dilahirkan kerana pengesanan awal masalah pendengaran mampu membantu mereka mendapatkan rawatan dan pemulihan secepat mungkin bergantung kepada tahap kerosakan.

“Diagnosis sepenuhnya perlu dijalankan terhadap bayi selewat-lewatnya pada usia tiga bulan dan sekiranya dikesan mengalami masalah pendengaran langkah pemulihan pula dapat dilakukan pada usia enam bulan.

“Bagaimana, rawatan dan pemulihan terhadap kanak-kanak yang dikesan mengalami masalah pendengaran adalah berbeza setiap individu disebabkan kecacatan dihadapi mungkin tidak sama.

“Ada masalah pendengaran boleh diatasi dengan pemakaian alat bantuan pendengaran atau peranti pendengaran, tetapi ada yang hanya boleh diatasi dengan pembedahan bagi memasang implan koklea disebabkan kecacatan kekal pada bahagian telinga dalam.

"Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran yang diberi rawatan dan pemulihan segera sebelum berusia empat tahun akan berpeluang mempelajari bahasa dan pertuturan sekaligus menjalani kehidupan seperti insan normal lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:00 AM