ALAT dipasang ganti fungsi telinga dalam bermasalah, proses bunyi serta hantar isyarat ke otak.
ALAT dipasang ganti fungsi telinga dalam bermasalah, proses bunyi serta hantar isyarat ke otak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIDAK dapat dilihat secara fizikal, namun masalah pendengaran kekal adalah kecacatan yang tersembunyi dan menyebabkan pelbagai komplikasi khususnya kepada kanak-kanak.

Bagi bayi yang baru dilahirkan, masalah itu tidak dapat dikesan mata kasar melainkan dengan melakukan ujian saringan pendengaran.

Ini kerana kira-kira 50 hingga 60 peratus bayi yang mengalami masalah pendengaran dilahirkan sihat tanpa sindrom atau sejarah keluarga.

Kebanyakan ibu bapa hanya mula sedar anak mereka mempunyai masalah pendengaran apabila tidak bercakap pada usia yang sepatutnya.

Masalah pendengaran boleh berpunca daripada pelbagai faktor dan antara yang paling lazim adalah kongenital, jangkitan telinga, meningitis, pendedahan kepada ubat yang 'ototoxic,' bunyi yang terlalu kuat serta faktor usia seperti bayi pramatang.

Sekiranya pendengaran tidak teruk, penggunaan alat bantu pendengaran untuk menguatkan bunyi sudah memadai.

Namun, jika kerosakan membabitkan telinga tengah atau telinga dalam dan berlaku kehilangan sel-sel rerambut di dalam koklea, implan koklea adalah alat yang berupaya mengembalikan semula fungsi pendengaran yang teruk atau sangat teruk.

Implan koklea atau telinga bionik, tidak mengembalikan pendengaran seperti individu normal dan kebanyakan pesakit menggambarkannya sebagai bunyi mekanikal akan tetapi fungsi pendengaran dapat dikembalikan sehingga ke tahap normal.

DR Bee See (duduk) bersama sebahagian pasukan yang melakukan pembedahan implan koklea pertama di HPKK.
DR Bee See (duduk) bersama sebahagian pasukan yang melakukan pembedahan implan koklea pertama di HPKK.

Bagaimanapun, dengan stimulasi dan proses pemetaan (mapping) yang konsisten, digabung dengan rehabilitasi pertuturan yang intensif, otak akan melakukan penyesuaian melalui adaptasi terhadap bunyi-bunyi baharu dan dapat menerima bunyi seperti normal selepas beberapa bulan.

Kini, pengguna alat prostetik itu mampu berkomunikasi secara normal tanpa perlu membaca pergerakan bibir atau menggunakan bahasa isyarat lagi.

Malah, pengguna implan kebanyakannya boleh bercakap dan menggunakan telefon.

Seiring perkembangan semasa, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakukan prosedur pembedahan implan koklea pertama seumpamanya kepada seorang pesakit kanak-kanak, Chua Zi Jie, berusia lapan tahun.

Prosedur yang mencatat sejarah tersendiri kepada HPKK itu diketuai Pakar Perunding Kanan merangkap Ketua Unit Otorinolaringologi, Profesor Dr Goh Bee See yang juga Ketua Pasukan Implan Koklea UKM.

Alat implan koklea yang dipasang itu menggantikan fungsi telinga dalam yang mempunyai masalah pendengaran teruk dan memproses bunyi serta menghantar isyarat ke otak.

Ia berbeza dengan alat bantu pendengaran yang hanya menguatkan bunyi.

Elektrod akan ditanam ke dalam telinga dalam iaitu koklea bagi memastikan bunyi boleh disampaikan ke otak melalui rangsangan elektrik.

Mengulas lanjut, Dr Bee See berkata, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah ujian saringan pendengaran untuk bayi yang baru dilahirkan kerana ia dapat membantu mengesan masalah berkenaan.

PROSEDUR rumit yang memerlukan kepakaran tinggi.
PROSEDUR rumit yang memerlukan kepakaran tinggi.

Kata beliau, antara satu hingga empat bayi daripada 1,000 kelahiran dikesan mengalami masalah berkenaan.

"Pengesanan awal penting untuk membolehkan diagnosis masalah pendengaran dapat disahkan sebelum bayi berusia tiga bulan.

"Ia akan membolehkan bayi berkenaan mendapat intervensi seawal usia enam bulan," katanya ketika ditemui sebelum prosedur pembedahan berkenaan di HPKK, baru-baru ini.

Jelas Dr Bee See lagi, rawatan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran sebaik-baiknya perlu dilakukan seawal yang mungkin iaitu sebelum usia tiga tahun.

Kehilangan pendengaran di sebelah atau kedua-dua belah telinga boleh berlaku kepada semua peringkat umur kanak-kanak dan ia memberi impak besar terhadap perkembangan bahasa, pertuturan, pendidikan, fungsi sosial serta kualiti hidup.

"Rawatan awal masalah pendengaran sememangnya boleh membantu mengurangkan risiko masalah pekak dan bisu.

"Ini kerana jika kanak-kanak dapat mendengar dengan baik, mereka juga akan dapat belajar dan bertutur dengan baik.

"Ia adalah perkara penting untuk pembelajaran dan masa depan mereka," katanya.

Dr Bee See berkata, UKM melalui Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan melakar sejarah apabila menjadi kumpulan perintis dalam mengendalikan kes implan koklea di rantau Asia Tenggara.

IMPLAN koklea membantu mengembalikan  pendengaran.
IMPLAN koklea membantu mengembalikan pendengaran.

Menurutnya, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim bersama Profesor Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed dari Jabatan Otorhinolaryngologi, Fakulti Perubatan UKM bekerjasama dengan Profesor Dr Siti Zamratol Mai-Sarah Mukari dan Profesor Dr Kartini Ahmad daripada Fakulti Sains Kesihatan membentuk Pasukan Implan Koklea UKM pada 1994.

"Pada 14 Disember 1995, pembedahan pertama implan koklea berjaya dilakukan pasukan terbabit, manakala pada 2005 bayi berusia 11 bulan menjadi pesakit termuda menjalani pembedahan itu di negara ini.

"Pada April tahun lalu, bayi berumur tujuh bulan menjalani implan koklea di kedua-dua telinga dengan jayanya dan menjadi bayi paling muda di Asia Tenggara untuk pembedahan berkenaan.

"Di UKM, gabungan kepakaran Pasukan Implan Koklea yang terdiri daripada ahli akademik dan profesional kesihatan termasuk pakar otorinolaringologi, audiologis, terapis pertuturan, pakar kanak-kanak dan ahli profesional sokongan yang lain memberi impak yang besar dalam pengendalian kanak-kanak serta individu mengalami masalah pendengaran di negara dan rantau ini.

"Pasukan Implan Koklea UKM juga berjaya menjalankan pembedahan terhadap lebih 600 pesakit mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak 25 tahun lalu yang kira-kira 85 peratus adalah daripadanya adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:20 AM