Zaitie Satibi


Julat pendengaran manusia bergantung pada frekuensi bunyi atau nada yang diukur dengan Hertz (Hz) dan intensiti atau kekuatan bunyi yang diukur dengan desibel (dB). Kadar pendengaran normal bermula dengan nada daripada serendah 20 Hz hingga 20,000 Hz, manakala kekuatan bunyi pula bermula daripada sifar dB.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kehilangan pendengaran, julat pendengarannya akan berubah apabila tidak mampu mendengar bunyi pertuturan perlahan paling selesa dan perbualan biasa (45 ke 60 dB) walaupun bisikan (25 ke 30 dB) sekalipun.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 360 juta penduduk dunia termasuk kanak-kanak mengalami masalah kehilangan pendengaran. Masalah kehilangan pendengaran merujuk kepada hanya berupaya mendengar selepas bunyi lebih daripada 40 dB bagi orang dewasa dan lebih 30 dB bagi kanak-kanak.

Pakar Perunding Bedah Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Pulau Pinang (PHP), Dr Zulkefli Hussein berkata, secara umumnya hilang pendengaran dan pekak bukan saja ketidakupayaan untuk mendengar, malah untuk berkomunikasi.

Dari segi saintifik, definisi hilang pendengaran atau pekak menurut buku ‘The Education of Deaf Children: Issues, Theory and Practice’ oleh Stephen P Quigley dan Robert E Kretschmer terbitan 1982 menyatakan kanak-kanak atau orang dewasa yang pekak iaitu seseorang yang tahap pendengarannya teruk (91 dB atau lebih) terutamanya saraf sensorinya rosak dan berlaku sebelum ia boleh bertutur.

Definisi lain yang biasa diterima daripada aspek pendidikan diperoleh daripada Executive Committee of the Conference of Educational Administratiors Serving the Deaf hasil Konvensyen Pengajar Orang Pekak Amerika pada 1960 menyatakan bahawa masalah pendengaran adalah istilah generik yang menunjukkan kecacatan pendengaran yang dalam tahap ringan ke tahap teruk (severe) termasuk subset pekak dan kurang pendengaran.

“Bagaimanapun, individu dengan masalah kehilangan pendengaran dan pekak juga seperti manusia normal yang mempunyai akal dan boleh berdikari. Apa yang membezakan mereka dengan orang biasa adalah kelainan mereka yang tidak berupaya untuk bercakap akibat tidak mendengar sebarang bunyi dari umur yang terlalu muda,” katanya.

Secara terperinci punca atau penyebab masalah pendengaran boleh terbahagi kepada tiga tahap kehidupan. Masalah pendengaran yang bermula sebelum lahir (dalam kandungan) sama ada berpunca daripada baka atau genetik, manakala bukan punca baka pula disebabkan jangkitan sewaktu dalam kandungan seperti rubella, campak, cacar, meningitis atau kencing manis, pengambilan dadah ketika hamil dan kekurangan bekalan oksigen dalam darah (hipoksemia) pada peringkat akhir kehamilan.

“Bagi punca disebabkan sewaktu lahir, masalah pendengaran boleh berlaku disebabkan kepala bayi terlalu lama berada di pintu rahim mengakibatkan tekanan yang kuat di bahagian telinga.

“Selain itu, kelahiran tidak cukup bulan (bayi pramatang), kecederaan pada bahagian telinga sewaktu lahir dan penyakit darah yang disebabkan oleh ketidaksesuaian Rhesus (Rh) juga menyumbang kepada masalah pendengaran.

“Masalah pendengaran yang berlaku selepas kelahiran pula akibat penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus, kemalangan yang mencederakan bahagian telinga dan terdedah kepada bunyi yang kuat.

“Bagi golongan yang bekerja, pekerjaan dalam senarai kilang kain atau tekstil, kilang keluli, kuari, tentera dan polis yang berlatih menembak, industri pemprosesan makanan, lapangan terbang, industri logam, kilang perabot, disko atau pusat hiburan, pelantar minyak pesisiran pantai dan penyelam skuba adalah antara pekerja yang berisiko untuk berdepan dengan masalah pendengaran akibat terdedah pada bunyi kuat dalam tempoh yang lama,” katanya.

Pendengaran konduktif

Dr Zulkefli berkata, masalah pendengaran terbahagi kepada konduktif yang berlaku apabila terdapat masalah atau jangkitan pada bahagian daripada saluran telinga luar hingga ke telinga tengah.

Contoh masalah pendengaran konduktif iaitu ketiadaan lubang telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping telinga (mikrotia atau anotia), sumbatan tahi telinga di saluran luar telinga dan jangkitan kuman pada saluran telinga luar atau telinga tengah boleh menyebabkan gegendang telinga pecah atau berlubang.

“Sebahagian masalah pendengaran konduktif dapat dirawat melalui kaedah ubatan atau pembedahan. Oleh itu, ia diklasifikasikan sebagai masalah pendengaran sementara bermaksud masih ada peluang untuk dirawat,” katanya.

Katanya, masalah pendengaran sensorineural atau saraf pula berlaku apabila terdapat gangguan atau jangkitan pada bahagian telinga dalam iaitu tempat koklea (sensori) dan saraf pendengaran (neural) berada.

“Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada kecacatan fizikal) tetapi hanya dapat dikenal pasti melalui ujian pendengaran. Ada juga yang perlu lakukan ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) untuk mengenal pasti diagnosisnya. Tambah lagi, tidak semua masalah saraf dapat dirawat dengan kaedah ubatan atau pembedahan.

“Bagi masalah pendengaran campuran membabitkan konduktif dan saraf pula berlaku apabila kedua-dua jenis masalah pendengaran terjadi pada masa yang sama. Contoh yang paling mudah, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran jenis saraf juga pada masa yang sama mempunyai mampatan tahi telinga (impacted ear wax) adalah dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran jenis campuran,” katanya.

Terdapat beberapa tanda kehilangan pendengaran yang mudah dikenali, seseorang itu dikatakan mengalami hilang pendengaran iaitu terasa sakit pada sebelah atau kedua-dua telinga, terasa pening atau mengalami vertigo dan tinnitus (bunyi bising dalam telinga).

“Jika anda mempunyai satu daripada tanda-tanda terbabit, eloklah segera berjumpa doktor atau pakar supaya ujian audiogram bagi mengukur intensiti atau kematan bunyi yang boleh didengar telinga dapat dijalankan.

“Bagi bayi pula, dia tidak terkejut dengan bunyi yang kuat, tidak menoleh ke arah sesuatu punca bunyi selepas berumur enam bulan. Bagi bayi selepas berumur satu tahun, mereka masih tidak mampu untuk bertutur walaupun perkataan mudah seperti ‘papa’ atau ‘mama’, ataupun bayi atau kanak-kanak itu hanya akan menoleh ke arah anda sekiranya mereka terpandang anda, tetapi bukan ketika anda tiada di sekitar dan bukan juga ketika anda memanggil mereka.

“Kanak-kanak prasekolah jika ibu bapa mendapati anaknya lambat bertutur (delayed speech development) dibandingkan dengan anak-anak yang lain juga tanda-tanda kepada masalah pendengaran,” katanya.

Katanya, jika pada individu yang berumur lanjut terutama yang berumur lebih 65 tahun, keluarga mendapati ahli keluarga itu tidak berkomunikasi dengan baik. Suka duduk bersendirian atau meninggikan aras suara televisyen atau radio. Ataupun bila ditanya akan sesuatu, yang lain pula yang dijawabnya. Bahkan selalu minta orang lain mengulang balik soalan yang ditanyakan kepadanya itu.

“Ada juga seseorang yang hilang pendengaran secara tiba-tiba, atau pendengaran seseorang itu berkurangan secara tiba-tiba dan bertambah teruk dalam masa beberapa hari. Dalam istilah perubatan ialah ‘sudden hearing loss’.

“Dari segi perubatan telinga, hidung dan tekak (ENT), keadaan ini dikira sebagai ‘Otological Emergency’. Pesakit ini perlu dirawat oleh pakar bedah ENT dengan segera. Penyebab keadaan ini perlulah disiasat dengan cepat untuk perawatan awal bagi mencegah kecacatan pendengaran yang kekal,” katanya.

Seseorang doktor sama ada pakar bedah ENT, doktor pakar kanak-kanak, doktor pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan, doktor pengamal perubatan am mahupun jururawat industri akan mengambil sejarah pesakit yang lengkap, pemeriksaan rapi telinga, hidung dan tekak serta pemeriksaan sistem tubuh badan yang berkaitan.

Ujian pendengaran

Ujian pendengaran atau audiologi dilakukan oleh pakar audiologi untuk mengenal pasti tahap kurang pendengaran itu. Tahap pendengaran selepas ujian audiometri, normal diukur bermula sifar hingga 25 dB, hilang pendengaran rendah (26 hingga 54 dB), hilang pendengaran sederhana (55 hingga 69 dB), hilang pendengaran teruk (70 hingga 89 dB) dan sangat teruk (lebih 90 dB).

Menurut Dr Zulkefli, masalah kurang pendengaran dan pekak mendapat perhatian dan diberi keutamaan oleh WHO berikutan ia sudah jadi masalah di semua negara di dunia.

“Dari segi epidemiologi, tiga hingga empat daripada 1,000 bayi yang lahir mengalami kecacatan pendengaran, manakala kira-kira 25 peratus daripada orang yang berumur 65 hingga 75 tahun dan 50 peratus daripada orang yang berumur 75 tahun ke atas juga mengalami kehilangan pendengaran.

“Hilang pendengaran juga lebih banyak berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita. Di Malaysia, 50 peratus daripada anggaran 2.5 juta populasi penduduk yang mengalami kecacatan pendengaran boleh dicegah terutamanya pada kanak-kanak.

“Masalah pekak dan kurang pendengaran ini akan memberi impak berikut iaitu masalah emosi yang berpanjangan, masalah sosial, masalah komunikasi dengan ahli keluarga, masyarakat terutama di sekolah bagi kanak-kanak dan di tempat kerja bagi orang dewasa serta masalah pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, rawatan masalah pendengaran bergantung pada punca masalah itu. Sebagai contoh, jika terdapat penyumbatan tahi telinga, maka telinga itu perlu dititis dengan cairan pelembut tahi telinga dulu sebelum seseorang pakar bedah ENT mengeluarkan atau mencuci saluran telinga itu menggunakan teknik sedutan vakum (ear toilet suction clearance) atau pancutan air ke saluran telinga (ear syringing).

Ada ketika pembersihan telinga perlu dilakukan dengan bantuan khidmat pakar bius dalam dewan bedah terutama dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa yang terlalu sakit. Ini perlu dilakukan oleh pakar bedah ENT di hospital pakar untuk mengelakkan kecederaan kepada gegendang telinga sewaktu proses pembersihan.

“Jika disebabkan infeksi atau jangkitan, maka pesakit perlu dirawat dengan antibiotik. Infeksi telinga tengah (otitis media) sering disebabkan oleh masalah alahan hidung dan juga infeksi hidung dan sinus (Rhinosinusutis).

“Dari segi anatomi, organ telinga, hidung dan tekak berhubung kait antara satu dengan yang lain. Ada pesakit perlu dirawat infeksi hidung dan sinus dengan kaedah pembedahan hidung dan sinus minimum invasif.

“Sebagai contoh pembedahan sinus dikenali Functional Endoscopic Sinus Surgery (FESS) menggunakan teknologi Balloon Sinuplasty serta pembedahan kelenjar adenoid dapat membantu mengurangkan risiko infeksi telinga tengah ini daripada berulang,” katanya.

Bagi gegendang telinga yang berlubang, pakar bedah ENT akan mencadangkan pembedahan untuk memperbaiki atau menampal gegendang telinga itu (myringoplasty). Alat bantuan pendengaran generasi terbaru yang berteknologi tinggi dan digital pula banyak terdapat di pasaran sekarang yang membantu pesakit dengan menguatkan bunyi menjadi lebih kuat dan mudah didengar.

Implan koklea adalah alat elektronik yang dimasukkan melalui pembedahan bagi memberikan deria bunyi kepada seseorang yang pekak atau pendengaran terjejas teruk. Alat ini sering digelar bionik telinga yang dipasang oleh pakar bedah ENT di pusat pakar perubatan yang terpilih di negara ini. Selepas pembedahan yang berjaya, pesakit perlu mengikuti program rehabilitasi yang intensif bersama pakar audiologi dan pakar terapi pertuturan.

Terapi pertuturan yang dijalankan oleh pakar pertuturan untuk melatih dan mempelajari bahasa isyarat serta membaca gerak bibir. Pesakit gangguan pendengaran teruk akan dianjurkan untuk belajar memahami bahasa isyarat dan membaca bibir untuk mempermudahkan komunikasi dengan orang lain.

“Kebanyakan masalah pendengaran boleh dihalang dengan mengamalkan langkah-langkah berikut, penjagaan telinga yang sihat sebagaimana yang dinasihatkan oleh doktor, dapatkan dan lengkapkan pengambilan immunisasi anak-anak.

“Elak daripada mengambil ubat yang boleh menjejaskan pendengaran kecuali diberi oleh doktor. Elakkan pengambilan ubat atau sebarang bentuk rawatan daripada sumber yang tidak bertauliah atau yang boleh diragui.

“Anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang betul dan berterusan bagi penyakit kronik daripada doktor yang bertauliah. Penting juga untuk kurangkan pendedahan kepada bunyi yang amat kuat bagi jangka masa panjang dan gunakan alat perlindungan telinga terutamanya untuk mereka yang bekerja di tempat yang sangat bising,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 12:28 AM