ERIC ditemani kakaknya, Jennie yang dipasangkan alat pendengaran dan buat pertama kalinya mendengar bunyi.
ERIC ditemani kakaknya, Jennie yang dipasangkan alat pendengaran dan buat pertama kalinya mendengar bunyi.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dilahirkan dengan masalah pendengaran tidak semestinya menjadi penamat kehidupan kanak-kanak apabila membesar kerana sesetengah masalah itu boleh diatasi melalui pelbagai kaedah perubatan.

Kini dengan kepesatan teknologi perubatan, masalah cacat pendengaran boleh diatasi dengan pembedahan implan koklea (pacakan koklea).

Seorang pesakit kanak-kanak, Eric Leong pertama kali dikesan mengalami masalah pendengaran ketika berusia dua tahun setengah apabila ibunya menyedari dia mengalami kesukaran untuk mendengar.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu disedari tidak memberi respons ketika namanya dipanggil mahupun tidak memberi reaksi pada bunyi kuat seperti guruh dan kilat.

Perkara ini bukan dialami Eric saja kerana kakaknya, Jennie Leong, 10, turut mengalami masalah pendengaran. Bagaimanapun, rawatan dan pembedahan implan koklea sudah dilakukan terhadapnya lima tahun lalu selepas dia dikesan kehilangan pendengaran mendalam secara bilateral (kedua-dua bahagian telinga).

Sehubungan itu, ibu bapa Eric juga tidak teragak-agak memutuskan anak kedua mereka itu perlu menjalani pembedahan implan koklear kerana mereka sedar perlu mengambil langkah segera demi perkembangan bahasa dan pertuturannya.

Disember lalu menjadi tarikh bersejarah buat Eric dengan kejayaan pembedahan implan koklea bilateral bagi mengatasi masalah yang dihadapinya sejak lahir.

Pada 18 Januari lalu, kedua-dua implan koklea yang ditanam itu dihidupkan dan Eric buat pertama kali dalam hidupnya dapat mendengar bunyi, satu hadiah yang tidak ternilai buat kanak-kanak sekecil itu.

Dengan kejayaan itu juga menandakan detik bersejarah bagi Hospital Pakar KPJ Ipoh, Perak kerana pembedahan implan koklea pertama dilaksanakan di hospital swasta di negeri itu berjaya dijalankan.

Pembedahan yang diketuai Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Philip Rajan dan ahli Otologi terlatih (pakar dalam menguruskan pendengaran dan penyakit berkaitan telinga) serta pasukan berdedikasi dari hospital itu.

Usaha itu hasil inisiatif Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Ipoh, Dr Luis Chen yang menyediakan perkhidmatan itu buat pertama kali di hospital itu dengan dua tujuan utama.

Katanya, sebelum ini pesakit dari negeri itu yang memerlukan rawatan dan pembedahan implan koklea perlu ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan di samping rawatan susulan seperti terapi audiologi dan pertuturan lazim yang kerap turut diperlukan.

“Oleh itu, hospital ini bukan saja mahu menyediakan pembedahan tetapi juga memastikan pemulihan selepas pembedahan yang komprehensif disediakan di Perak.

“Hospital ini menyediakan pakej komprehensif yang merangkumi peranti dan pembedahan. Jumlah kos pakej dari RM110,000 hingga RM160,000 bergantung kepada model yang digunakan,” katanya.

Menurut Dr Luis yang juga Perunding ENT, pihaknya berharap inisiatif ini akan menjadi permulaan perkhidmatan implan otologik yang komprehensif untuk pelbagai jenis gangguan pendengaran.

Ini tentunya akan memberi manfaat kepada rakyat Perak bukan saja dari segi penjimatan kos tetapi juga masa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusmah Salleh yakin kejayaan itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan hospital berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang komprehensif dan terkini untuk rakyat Perak.

Katanya, dia juga percaya dalam jangka masa panjang, ini juga akan memberi sumbangan positif kepada ekonomi Perak selaras visi kerajaan negeri untuk membangunkan Ipoh sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Implan koklea

Implan koklea adalah peranti yang dimasukkan ke dalam koklea pesakit melalui pembedahan bagi membolehkan pesakit mendengar. Peranti teknologi tinggi ini sangat mahal dengan harga antara RM70,000 hingga RM100,000 setiap peranti.

Bagi kanak-kanak yang dilahirkan pekak, ia amat penting agar masalah kehilangan pendengaran dapat dikesan awal dengan intervensi yang betul sama ada menggunakan alat bantuan pendengaran atau implan koklea dilakukan seawal mungkin untuk perkembangan pertuturan dan bahasa yang normal.

Hospital itu juga menawarkan pemeriksaan pendengaran bagi bayi baru lahir yang mana semua kanak-kanak yang baru dilahirkan diperiksa untuk masalah pekak.

Pembedahan

Program implan koklea yang berjaya memerlukan banyak faktor. Pakar bedah Otologi atau ENT yang terlatih dalam melakukan pembedahan rumit ini adalah penting.

Di samping itu, kanak-kanak dan ibu bapa perlu menjalani terapi audiologi dan terapi intensif yang diperlukan setiap minggu untuk tahun pertama selepas implantasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:14 PM