ABDUL Kader bersama toman tiga kilogram ditangkapnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
ABDUL Kader bersama toman tiga kilogram ditangkapnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Kedah: Seorang peniaga makanan di pekan ini memperoleh rezeki tidak diduga susulan fenomena air pasang besar apabila menangkap seekor ikan toman seberat kira-kira tiga kilogram, jam 2 pagi tadi.

Habitat toman lazimnya di paya atau tasik besar namun ia ditangkap di tepi jalan utama Kuala Kedah.

Peniaga, Abdul Kader Abdul Muthalib, 42, berkata, pada mulanya, dia menyangka biawak berenang dalam banjir yang mula surut di jalan berkenaan.

“Saya menutup kedai jam 11 malam sebelum mendapati air berkocak. Apabila diamati, saya dapati ia toman dan cuba menangkapnya dengan menggunakan tudung saji.

“Saya berusaha hampir sejam sebelum dapat menangkapnya. Saya bersyukur memperoleh rezeki tidak diduga ini,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.

Abdul Kader bagaimanapun belum menetapkan sama ada hendak memasak atau menjual toman itu yang dipercayai tersesat daripada sungai berdekatan ketika mengikut arus air pasang.

Sementara itu, kejadian air pasang besar sejak malam semalam masih terkawal biarpun menyebabkan banjir di beberapa kampung dan kawasan perumahan.

Ia disahkan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kota Setar Sarjan Elliyes Hashim yang melakukan pemantauan bersama tujuh anggotanya.

“Berdasarkan pemantauan, tiada keperluan untuk memindahkan penduduk setakat ini biarpun air naik kira-kira 0.5 meter dan melimpah di kawasan penempatan penduduk.

“Kami akan terus memantau setiap kawasan dan perumahan yang terbabit supaya bantuan dapat diberikan segera kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 1:15 PM