PENGARAH Jabatan Kastam Kelantan, Mohd Nasir Yusof, (dua kiri) bersama pegawainya memeriksa sebahagian mercun dan rokok rampasan pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang. FOTO Faris Zainuldin
PENGARAH Jabatan Kastam Kelantan, Mohd Nasir Yusof, (dua kiri) bersama pegawainya memeriksa sebahagian mercun dan rokok rampasan pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang. FOTO Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api seludup bernilai RM129,680 termasuk cukai dalam operasi di Wakaf Bata, Machang, Khamis lalu.

Pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 3.50 pagi.

Pengarahnya, Mohd Nasir Yusoff, berkata mercun seberat 4,078 kilogram (kg) diletakkan dalam 174 kotak dan dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur menggunakan lori lima tan.

"Pemandu lori itu direman tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media, di Rantau Panjang, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan kira-kira 6 pagi Khamis lalu, Mohd Nasir berkata, pihaknya merampas 1,150 karton rokok seludup jenama Saat seberat 195.50 kg bernilai RM158,470.

Katanya, rampasan berkenaan dibuat dalam sekatan jalan raya di Kampung Pachakan, Besut, Terengganu.

Menurutnya, kastam turut menahan dua lelaki masing-masing warga Thailand berusia 28 tahun dan Myanmar usia 20-an.

"Kami merampas dua Proton Preve yang dipandu lelaki Thailand dan Perodua Alza dipandu warga Myanmar yang dalam perjalanan membawa rokok seludup dari Kuala Lumpur ke Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 12:44 PM