Penyeludup menggunakan sehingga 10 tonto memantau aktiviti penyeludupan di Sungai Golok. Gambar kecil Ismail. FOTO Syamsi Suhaimi
Penyeludup menggunakan sehingga 10 tonto memantau aktiviti penyeludupan di Sungai Golok. Gambar kecil Ismail. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENYELUDUP rokok menggunakan antara lima hingga 10 tonto memantau aktiviti penyeludupan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Tonto itu berada di tepi Sungai Golok dalam jarak kira-kira 20 meter antara satu sama lain untuk memantau pergerakan pihak berkuasa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, sindiket itu mengupah penduduk kampung menjadi tonto dengan bayaran antara RM50 hingga RM100.

Katanya, tonto itu berada di tebing sungai di sempadan negara untuk menyalurkan maklumat kepada penyeludup.

“Mereka memantau kehadiran pihak berkuasa seterusnya memaklumkan kepada penyeludup.

“Sebaik mengetahui kehadiran kita, penyeludup bertindak melarikan diri ke kawasan cetek dan meninggalkan barang penyeludupan termasuk rokok,” katanya ketika ditemui di Pejabat APMM Tok Bali kelmarin.

Menurutnya, rokok itu dibawa dari Takbai, Thailand untuk pasaran di Kelantan dan Lembah Klang berikutan permintaan tinggi yang dijual pada harga antara RM4 sehingga RM5 sekotak.

“Sindiket penyeludupan meletakkan barang seludup di tebing sungai negara berkenaan sebelum dipindahkan dengan bot yang hanya mengambil masa tiga minit memandangkan keluasan sungai itu hanya sekitar 200 meter saja.

“Mereka kemudian memasukkan rokok ke dalam lori yang menunggu di tebing sungai sebelum bekalan itu dihantar kepada pembeli,” katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan untuk mematahkan aktiviti penyeludupan rokok yang aktif kerana mendapat permintaan tinggi.

“Tahun ini, kita berjaya merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai lebih RM600,000 termasuk cukai.

“Rokok yang dirampas disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 11:43 PM