DATUK Nasir Yusoff menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Setiu, Terengganu, hari ini dan Gua Musang pada 8 Januari lalu bernilai keseluruhan RM1,380,081.84 termasuk cukai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Nasir Yusoff menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Setiu, Terengganu, hari ini dan Gua Musang pada 8 Januari lalu bernilai keseluruhan RM1,380,081.84 termasuk cukai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


TINDAKAN berani seorang lelaki memandu lori berisi 5,400 karton rokok seludup dari Kuala Lumpur ke Kelantan, akhirnya bawa padah apabila dia ditahan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Setiu, Terengganu, hari ini.

Lori tiga tan sarat muatan rokok bernilai RM572,400 termasuk cukai itu ditahan dalam Ops Khas Bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), 3.40 pagi.

Operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan polis.

Pengarah JKDM Kelantan Datuk Nasir Yusoff berkata, pihaknya menahan pemandu lori berusia 47 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Katanya, dia ditawar jaminan RM30,000 dan membayar jaminan berkenaan.

"Bertindak atas maklumat, pasukan bertindak mengekori suspek sejauh 20 kilometer dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) hingga ke Setiu dan memintasnya di hadapan sebuah sekolah di daerah itu.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 5,400 karton rokok seludup Saat yang disorokkan di sebalik himpunan polisterin.

"Pemandu itu kita bawa ke pejabat untuk disoal siasat. Dia diberi jaminan dan membayar jamin diri RM30,000," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM di Kota Bharu.

Nasir berkata, siasatan awal, suspek mengaku mengambil upah untuk membawa rokok seludup dan sudah melakukannya sebanyak tiga kali.

"Bagaimanapun, ini kali pertama dia membawanya ke Kelantan dan ditahan," katanya yang memberitahu rokok dipercayai untuk pasaran Kelantan.

Sebelum itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas 8,410 karton rokok bernilai RM807,681.84 termasuk cukai di bandar Gua Musang pada 2.15 petang, 8 Januari lalu.

Beliau berkata, rokok diseludup dalam sebuah lori yang membawa muatan barangan lain termasuk tayar dan kotak berisi 'disposable foam cup'.

"Rokok seludup pelbagai jenis itu disorokkan di sebalik barangan berkenaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Menerusi dua tangkapan ini, menjadikan jumlah keseluruhan rokok seludup yang berjaya kita rampas, RM1,380,081.84 (termasuk cukai)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 1:53 PM