Agensi

Paris: Calon Presiden Perancis dari parti berhaluan tengah, Emmanuel Macron kelmarin mendedahkan satu kumpulan penggodam Russia melancarkan serangan besar dan terancang dalam usaha menjejaskan kempennya.

Macron mendedahkan perkara itu beberapa minit sebelum larangan liputan media terhadap kempen menjelang pilihan raya presiden yang berlangsung hari ini.

Sebanyak 9 gigabait data dihantar oleh seorang pengguna dikenali sebagai EMLEAKS ke laman sesawang Pastebin yang membolehkan pengguna berkongsi dokumen secara rahsia.

Dokumen termasuk e-mel, fail kewangan dan kontrak itu dicuri dari pergerakan politik Macron, En Marche!.

Dalam pilihan raya itu, Macron yang dianggap calon pilihan bakal berdepan Marine Le Pen dari parti berhaluan kiri.

Pasukan kempen Macron berkata, dokumen yang didedahkan dan dicampur dengan data palsu itu bertujuan mengelirukan dan mengganggu proses pilihan raya.

“Mereka yang mengedarkan dokumen ini dan ditambah dengan data palsu bertujuan menyemai keraguan dan kekeliruan.

“Tujuan penggodam ini adalah jelas mahu menjejaskan pergerakan En Marche! sebelum pengundian bermula,” katanya.

Suruhanjaya pilihan raya Perancis juga mengadakan satu mesyuarat untuk membincangkan isu berkenaan dan menggesa media tidak mendedahkan dokumen berkenaan kerana bimbang sebahagiannya mungkin palsu.

Macron sebelum ini mengadu mengenai cubaan menggodam e-mel dan menuduh serangan itu ada kepentingan kepada Russia.

Presiden Russia, Vladimir Putin yang dituduh campur tangan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat lalu dikatakan menyokong Marine yang menentang Kesatuan Eropah.

Sementara itu, pungutan suara terbaru menunjukkan Macron mendahului dengan 60 hingga 63 peratus berbanding Marine yang memperoleh 38 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:04 AM