MACRON dan isterinya Brigitte melambai kepada penyokong selepas keputusan diumumkan. - AP
MACRON dan isterinya Brigitte melambai kepada penyokong selepas keputusan diumumkan. - AP
MARINE mengedarkan risalah kempen di sebuah pasar di Bethune, utara Perancis. - AFP
MARINE mengedarkan risalah kempen di sebuah pasar di Bethune, utara Perancis. - AFP
AFP

Paris: Calon presiden sentris yang pro-Eropah, Emmanuel Macron dan pemimpin antipendatang Marine Le Pen semalam memulakan pusingan akhir merebutkan jawatan presiden Perancis pada 7 Mei ini selepas keputusan mengejutkan proses pengundian Ahad lalu yang melihat pukulan hebat terhadap kumpulan politik tradisi negara itu.

Macron - ahli perbankan yang juga bekas Menteri Ekonomi Perancis - dilihat calon pilihan menjadi presiden termuda Perancis selepas mendahului dengan undian sebanyak 23.75 peratus, disusuli pemimpin Barisan Kebangsaan (FN) Marine (21.53 peratus).

Keputusan itu membayangkan keinginan rakyat Perancis untuk perubahan.

Calon Parti Republikan Francois Fillon menduduki tempat ketiga dengan 19.9 peratus manakala calon Sosialis, Benoit Hamon cuma 6.35 peratus. Hamon yang menyifatkan Marine sebagai ‘musuh republik’ dan Fillon masing-masing terus menyatakan sokongan terhadap Macron.

Ketika berucap di depan ribuan penyokong di Paris, lewat Ahad (waktu tempatan), Macron, 39, berkata, dia mahu menyatukan patriot menentang ‘ancaman nasionalisme.’

Marine, 48, yang lantang antipendatang dan anti-Kesatuan Eropah (EU) pula berkata, pengundi perlu memilih sama ada mendapat Perancis yang dibawa ke arah ‘globalisasi tidak terkawal’ atau bersifat perlindungan yang memelihara dan mendahulukan kepentingan rakyatnya.

Dengan 7.6 undi, bekas peguam itu mendapat lebih sejuta penyokong baru berbanding ketika pilihan raya 2012, sesuatu yang dianggapnya sebagai ‘bersejarah.’

Namun kedudukannya dilihat kurang kukuh terutama memandangkan pemimpin-pemimpin berhaluan kanan serta kiri meletakkan sokongan terhadap Macron.

Malah setakat ini dijangka Macron mampu mengalahkan Marine sehingga 20 peratus dalam pilihan raya yang tidak mengetengahkan calon-calon berhaluan kiri atau kanan arus utama negara itu buat kali pertama dalam enam dekad.

Pilihan raya Perancis ini petunjuk sejauh mana sentimen populis dunia susulan pelantikan Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat (AS) dan undian rakyat Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, penunjuk perasaan memprotes selepas keputusan diumumkan termasuk membakar kereta dan bertempur dengan polis antirusuhan di Place de la Bastille serta Republique.

Seramai 29 orang ditahan di Bastille, di mana penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan memprotes kemenangan Marine dan Macron.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 9:04 AM