AFP

CALON berhaluan tengah, Emmanuel Macron berjanji memulihkan perpecahan di Perancis selepas mengalahkan calon nasionalis berhaluan kanan, Marine Le Pen, hari ini.

Kemenangan dalam pilihan raya presiden memberi Macron mandat yang besar tetapi rapuh.

Bekas pegawai bank berusia 39 tahun itu dilantik presiden Perancis paling muda tetapi menghadapi cabaran besar untuk melaksanakan programnya sambil menyatukan negara yang berpecah dan lemah semangat.

“Saya akan berjuang sesungguhnya terhadap perpecahan yang melemahkan kita,” katanya di ibu pejabat kempennya.

Macron turut memberitahu penyokongnya yang mengibar bendera Perancis di perkarangan Muzium Louvre di Paris: “Malam ini, Perancis menang.”

Macron mendapat 65.82 peratus undian dalam pilihan raya pertama yang ditandinginya, jauh lebih banyak berbanding undian Le Pen dengan 34.18 peratus.

Namun, tanda kekecewaan pengundi meluas dengan satu dalam tiga pengundi memilih untuk berkecuali atau membuang undi kosong.

Macron turut membuat rayuan kepada penyokong Le Pen selepas kempen pilihan raya yang mendedahkan pembahagian sosial dan ekonomi serta membawa ketegangan berdasarkan identiti dan isu imigresen.

"Mereka mengundi kerana marah dan cemas. Saya tetap menghormati mereka.

"Saya akan melakukan apa sahaja yang boleh dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memastikan rakyat tidak lagi mempunyai apa-apa sebab untuk mengundi mereka yang berhaluan ekstrem," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 4:05 PM
EMMANUEL Macron memberi ucapan di Muzium Louvre di Paris. FOTO AFP
EMMANUEL Macron memberi ucapan di Muzium Louvre di Paris. FOTO AFP