Reuters

Paris: Kerajaan Perancis mencipta sistem pesanan teks sendiri, seperti WhatsApp dan Telegram kerana bimbang kuasa asing boleh mengintip perbualan peribadi pegawai kanan.

Menurut kenyataan kementerian digital negara itu, semalam, tiada satu pun aplikasi mesej tersulit utama dunia, termasuk WhatsApp dan Telegram yang menjadi kegemaran Presiden Emmanuel Macron yang berpangkalan di Perancis, meningkatkan lagi risiko kebocoran data melalui pelayan di luar Perancis.

Menurut jurucakap kementerian itu, kira-kira 20 kakitangan kerajaan termasuk pegawai kanan sedang menguji aplikasi baru itu yang direka kontraktor kerajaan sebelum digunakan sepenuhnya pada musim panas nanti.

“Kita perlukan khidmat mesej tersulit yang tidak dikendalikan Amerika Syarikat atau Russia.

“Wujud potensi kebocoran data seperti berlaku terhadap Facebook,” kata jurucakap itu.

Rangkaian media sosial Facebook berpangkalan di Amerika, membeli WhatsApp pada 2014 dan Facebook dikritik hebat berikutan kejadian puluhan juta data pengguna dikumpul secara rahsia oleh syarikat perunding Cambridge Analytica.

Sistem pesanan yang dicipta Perancis itu juga terbuka untuk digunakan semua rakyat, namun jurucakap itu enggan menyatakan nama sistem berkenaan.

Macron dan pegawai kanannya sebelum ini menggunakan Telegram, termasuk ketika kempen pilihan raya presiden, tahun lalu.

Namun, isu keselamatan menjadi kebimbangan awal tahun berikutan Telegram dibangun ahli perniagaan Russia.

Malah, Russia sendiri menyekat Telegram selepas syarikat itu enggan mematuhi arahan memberi kod memecah pesanan tersulit kepada agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 1:24 AM