Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Kini skuad negara tiga kali lebih bagus berbanding sebelum ini.”

Demikian keyakinan tinggi yang disuarakan ketua jurulatih skuad hoki negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menjelang saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai depan.

Rasa yakin Dhaarma itu hadir selepas beliau menyaksikan bagaimana barisan pemainnya mengharungi 13 perlawanan kompetitif dengan cemerlang di Jelajah Eropah baru-baru ini sebagai persediaan ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kempen kelayakan untuk ke Piala Dunia 2018.

Malaysia yang layak kali pertama ke peringkat itu, diundi bersama-sama gergasi dunia Australia, New Zealand, Sepanyol serta Belgium selaku tuan rumah.

“Pada asasnya skuad negara mempunyai prestasi lebih baik sekarang.

“Tapi, masalah utama sekarang ialah kami tidak tahu kekuatan sebenar pasukan yang ditemui di Belgium terutama tuan rumah dan Sepanyol.

“Ini kerana, kedua-dua pasukan ini adalah sasaran utama kami untuk memungut tiga mata.

“Manakala untuk Australia dan New Zealand, kami sedar mereka lawan lebih unggul,” katanya.

Pun begitu, Dhaarma tetap mengharapkan barisan pemainnya dapat memberikan yang terbaik di kejohanan itu kerana inilah peluang terbaik bagi skuad negara layak ke Piala Dunia buat kali pertama.

“Ada beberapa kelemahan yang perlu di atasi sepanjang siri Jelajah Eropah itu. Antaranya barisan skuad negara mengambil masa yang agak lama apabila memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

“Apapun, di Belgium kami memang pasukan bukan pilihan dan sepatutnya tiada sebarang tekanan,” katanya yang bercadang untuk berlepas lebih awal iaitu pada 12 Jun untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan sebelum beraksi pada perlawanan sebenar.

Sepanjang 13 perlawanan persahabatan di Jerman dan Belanda, skuad negara mencatat lima kemenangan, lima tewas serta tiga seri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:52 AM