MUHAMMAD Dhaarma Raj
MUHAMMAD Dhaarma Raj
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj mengakui barisan pemainnya bukanlah pasukan yang mampu memberi keputusan konsisten pada setiap perlawanan menjelang pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Tun Razak bermula 14 Januari ini.

Sebaliknya, jelas bekas pengendali skuad Projek 2013 itu, beliau lebih selesa melabel anak buahnya sebagai ‘giant killer’, iaitu sebuah pasukan yang mampu menewaskan pasukan berstatus pilihan sekiranya mereka benar-benar berada pada prestasi sebenar.

Penilaian Dhaarma itu selepas menyaksikan bagaimana anak buahnya berjaya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan persahabatan dengan pasukan yang menduduki ranking kelima dunia, New Zealand, baru-baru ini.

“Memang kita bukan pasukan yang konsisten atau dengan kata lain tidak boleh bagi kepastian.

“Tapi pada hari tertentu, barisan pemain kita mampu berikan yang terbaik sekali gus menewaskan pasukan gergasi.

“Saya berharap apabila bertemu pasukan seperti Ireland atau ketika di peringkat separuh akhir, kita akan dapat meraih prestasi itu,” katanya.

Dhaarma berkata, beliau sendiri tidak dapat memberi jaminan sama ada anak buahnya mampu mempamerkan aksi konsisten di pusingan kedua Liga Hoki Dunia.

“Bagi saya, bukan kita saja pasukan ‘giant killer’, sebaliknya pasukan lain yang beraksi pada pusingan kali ini juga mempunyai kekuatan yang sama,” katanya.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama Ireland, Kazakhstan dan Hong Kong.

Pusingan kedua adalah sebahagian daripada laluan untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:09 AM