VETTEL  menguasai sesi ujian masa kelmarin.
VETTEL menguasai sesi ujian masa kelmarin.
AFP

Sochi, Russia: Pendahulu kategori pelumba Sebastian Vettel percaya Mercedes masih lagi seteru utama mereka di Grand Prix Russia walaupun Ferrari menguasai sesi ujian masa kelmarin.

Juara dunia empat kali dari Jerman itu serta rakan sepasukannya di Ferrari Kimi Raikkonen mencatat masa pertama dan kedua terpantas ketika ujian masa di Sochi.

Ferraris mencatat kelebihan lebih enam per-sepuluh saat berbanding pelumba di tempat ketiga Valtteri Bottas bersama jentera Mercedes sambil rakan sepasukan yang juga juara tiga kali Lewis Hamilton mengaku dia agak bergelut untuk berada di tempat keempat.

Mercedes memenangi semua tiga perlumbaan yang diadakan di Sochi Autodrom sebelum ini dan tidak pernah gagal mendahului di setiap pusingan tetapi Vettel berkata, Mercedes mungkin cuba bermain psikologi dan membiarkan Ferrari leka dengan catatan mereka.

Vettel berkata: “Ini adalah litar yang sesuai dengan jentera mereka dan sudah tentu mereka akan lebih pantas pada perlumbaan sebenar nanti. Tahun lalu, ramai menjangkakan pasukan Williams akan mencatat masa terpantas tetapi sebaliknya berlaku apabila Mercedes yang muncul juara.

“Ada kalanya kita silap membuat agakan dan pada pendapat saya, banyak perkara yang memainkan peranan dalam sesi ujian masa seperti jumlah minyak serta penalaan enjin.

“Ini adalah litar Mercedes. Mereka cuma tidak mahu menunjukkan belang hari ini.

“Justeru, apa yang ada saksikan hari ini adalah ‘permainan’ mereka.”

Hamilton yang ketinggalan tujuh mata di belakang Vettel pada senarai pelumba, berkata: “Kami tidak pernah berlakon.

“Tidak ada faedahnya jika kami berbuat demikian. Saya rasa Ferrari pernah berbuat demikian tetapi tidak ada faedahnya untuk kami menipu dengan sengaja memperlahankan jentera.

“Kami sudah cuba mendapatkan yang terbaik tetapi hari ini tidak menyebelahi kami.

“Saya tidak tahu mengapa dia berkata demikian. Mungkin Sebastian yang cuba bermain dengan psikologi. Mereka memang pantas dan kami tidak sepantas mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:50 AM