AFP

Barcelona: Pemandu Williams Felipe Massa (gambar) mengatasi bekas juara dunia Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel pada hari pertama sesi ujian pramusim kedua di Barcelona, kelmarin.

Pelumba Brazil itu mencatat masa terpantas buat kali kedua dalam tempoh lima hari ujian setakat ini dengan satu minit 19.726 saat.

Massa, 35, mengumumkan persaraannya hujung musim lalu tetapi menarik balik keputusan itu apabila Williams menawarkan tempat bagi menggantikan Valtteri Bottas yang berpindah ke Mercedes.

Bagaimanapun, naib juara dunia 2008 itu membuktikan dia masih hebat seperti dulu apabila melengkapkan 168 pusingan - catatan gabungan tertinggi individu setakat ini ketika Williams bangkit daripada masalah dihadapi minggu lalu.

“Hari yang hebat buat kami @WiliamsRacing, 168 pusingan. Cukup hebat buat seorang pemandu tua dan pernah bersara,” kata Massa di laman web Twitter rasminya.

Janji Red Bull untuk meningkatkan kepantasan mereka berbanding ujian pertama minggu lalu turut tertunai apabila Daniel Ricciardo merakam masa kedua terpantas.

“Jika dilihat kepada kedudukan kami minggu lalu, saya rasa jentera ini sudah banyak berubah,” kata Ricciardo.

“Kami rasa masih boleh meningkatkan prestasi jentera dan buat masa ini ia kelihatan agak sempurna.”

Penguasaan Ferrari sejak sesi ujian pertama berterusan dengan Vettel mencatat masa setengah saat lebih pantas berbanding Hamilton dengan kedua-dua mereka menggunakan tayar lembut.

Vettel turut menamatkan 168 pusingan dan tidak seperti pasukan lain, Ferrari langsung tidak terjejas dengan apa-apa isu.

Juara dunia tiga kali, Hamilton pula sekadar menamatkan 49 pusingan gara-gara masalah enjin.

“Kami berdepan masalah enjin pagi ini dan ia memaksa kami berhenti lebih awal. Saya terpaksa mengorbankan sedikit masa bagi memastikan jentera Valtteri dapat disiapkan pada sebelah petang,” ujar Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 8:11 AM