RAIKKONEN catat masa terpantas sesi latihan pertama GP Russia.
RAIKKONEN catat masa terpantas sesi latihan pertama GP Russia.
Reuters

Sochi, Russia: Pelumba Ferrari dari Finland Kimi Raikkonen melaungkan cabaran pada sesi latihan pertama Grand Prix Russia dengan rakan senegara Valtteri Bottas yang memandu jentera juara Formula Satu, Mercedes tidak jauh di belakangnya.

Raikkonen, yang tidak pernah berada di podium sejak Julai lalu dan hanya mengumpul setengah mata daripada jumlah yang dipungut rakan sepasukan dan pendahulu kejuaraan Sebastian Vettel musim ini, mencatat masa sepusingan satu minit 36.074 saat.

Vettel, yang memburu kemenangan ketiga daripada empat perlumbaan buat Ferrari yang mula menunjukkan kebangkitan, berdepan masalah apabila keretanya berpusing, tetapi mencatat masa ketiga terpantas manakala pelumba Red Bull Max Verstappen mencatat masa keempat terpantas pada sesi pagi yang dilatari suasana pergunungan bersalji.

Bottas 0.045s lebih perlahan daripada rakan senegaranya manakala rakan sepasukan Lewis Hamilton, yang juga pesaing terdekat Vettel mencatat masa ketiga terpantas tetapi 0.607s lebih perlahan daripada Raikkonen selepas beberapa kali tergelincir daripada trek.

Litar jalanan di Sochi yang melalui venue Taman Olimpik 2014, memihak kepada Mercedes sejak edisi sulungnya tiga tahun lalu dengan juara mendahului setiap pusingan pada setiap perlumbaan di sana.

Hamilton, juara tiga kali menang pada 2014 dan 2015 manakala bekas rakan sepasukannya Nico Rosberg menang tahun lalu dalam laluan muncul juara keseluruhan.

Raikkonen dan Bottas turut mempunyai rekod baik di Sochi, tetapi dengan juara dunia 2007 menamatkan saingan tahun lalu di tempat ketiga manakala Bottas mencatat catatan pusingan terpantas buat kali pertama dalam karier sebagai pelumba Formula Satu pada 2014 apabila turut menduduki tempat ketiga bersama Williams.

“Sebagai sebuah pasukan, kami menampilkan aksi lebih baik berbanding beberapa tahun lalu,” kata Raikkonen kelmarin.

“Ya ada perkara yang perlu kami perbaiki, tetapi perkara sama juga dialami semua orang.

“Adakah kami berada setaraf dengan mereka (Mercedes)? Saya tidak tahu. Saya boleh katakan sudah tidak terlalu jauh.”

Sewaktu dua pelumba Finland mendahului catatan masa, seorang lagi pelumba Finland berdepan masalah pada sesi itu.

Pelumba Force India Esteban Ocon menyebabkan bendera merah dikibarkan apabila penutup enjinnya dengan ‘sirip jerung’ tercabut daripada keretanya.

Pelumba simpanan Russia Sergey Sirotkin menggantikan pelumba Jerman Nico Hulkenberg di Renault untuk sesi itu tetapi kereta itu mengalami kerosakan di trek sebelum sempat melakukan catatan masa dan ditolak keluar oleh marshal perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 4:12 AM