Kenderaan membawa Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat pulang selepas menziarahi pusara Thaqif di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Aping Timur. FOTO  Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Kenderaan membawa Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat pulang selepas menziarahi pusara Thaqif di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Aping Timur. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi pusara Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah dilihat menaiki kenderaan istana menuju ke tanah perkuburan jam 3.30 petang dengan diiringi kenderaan polis.

Hadir sama, ibu Allahyarham Mohamad Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, bapanya, Mohd Gaddafi Mat Kassim, 43, Kadi Daerah Kota Tinggi, Suhaimi Rebu dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kassim.

Upacara dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil ringkas sebelum baginda menyiram air mawar di pusara bekas murid tahfiz itu yang meninggal dunia 2.05 petang, Rabu lalu, akibat jangkitan kuman.

Baginda bersama rombongan istana kemudian meninggalkan pusara jam 4 petang.

Sebelum ini, Raja Zarith Sofiah turut berkenan meluangkan masa menziarahi Mohamad Thaqif ketika dirawat di Wad Depensi Tinggi (HWD), Hospital Sultan Ismail (HSI), pada Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 6:39 PM