Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di tiga PPS di Kota Tinggi, petang tadi. FOTO IHSAN RPO
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di tiga PPS di Kota Tinggi, petang tadi. FOTO IHSAN RPO
Omar Ahmad


Johor Bahru: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah, berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kota Tinggi, petang tadi.

Baginda berangkat ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota yang menempatkan 205 mangsa banjir daripada 52 keluarga, sebelum ke PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana yang menempatkan 243 mangsa daripada 56 keluarga.

Baginda turut berangkat ke PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi yang menempatkan 185 mangsa daripada 50 keluarga.

Raja Zarith Sofiah juga berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama mangsa banjir dengan bertanyakan khabar dan keadaan mereka.

Dalam lawatan baginda juga mengurniakan kit penjagaan kebersihan diri kepada setiap keluarga di PPS menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), selain menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi.

Turut disampaikan bakul makanan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) serta bantuan lain daripada Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (JKM), Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Southern Volunteers (SV).

Baginda juga berkenan dipersembahkan taklimat yang disampaikan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir mengenai tebatan banjir di Kota Tinggi, serta rancangan yang diambil kerajaan negeri dalam mengatasi masalah bencana alam berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 10:52 PM