SULTAN Ibrahim menabur bunga mawar ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
SULTAN Ibrahim menabur bunga mawar ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohd Sabran Md Sani


SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melawat Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di Johor Bahru, sempena Hari Hol, hari ini.

Baginda yang tiba pada 9 pagi disambut Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Sultan Ibrahim yang meluangkan masa kira-kira satu jam menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahanda baginda, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Baginda kemudian menziarahi pusara anakandanya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dan bonda baginda, Almarhum Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin mengiringi bacaan doa pada setiap pusara yang diziarahi.

Malam tadi, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin di Masjid Pasir Pelangi, sempena Hari Hol.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah turut diiringi Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Berangkat sama , isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan diikuti solat Maghrib berjemaah serta doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Majlis sempena Hari Hol itu bagi memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 1:26 PM