MADRASAH Tahfiz Al Jauhar di Kota Tinggi. FOTO arkib NSTP
MADRASAH Tahfiz Al Jauhar di Kota Tinggi. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) akan mendapatkan khidmat guaman buat Madrasah Tahfiz Al Jauhar (MTAJ), Kota Tinggi, Johor bagi membela pusat tahfiz itu susulan bekas murid yang kehilangan dua belah kaki selepas didakwa disebat pembantu warden sekolah berkenaan.

Presiden Gabungan PINTA Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz berkata, pihaknya ingin memaklumkan madrasah tahfiz berkenaan tidak keseorangan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya dengan apa cara sekali pun akan memperjuangkan nasib madrasah tahfiz itu hingga ke akhirnya.

"Kami juga mahu masyarakat memberi ruang seluasnya kepada pihak berwajib terutama polis dan hospital untuk melakukan siasatan rapi bagi mendapat jawapan yang telus mengenai isu berkenaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Replika Cek Bantuan kepada Sekolah Pondok; Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar di sini hari ini.

Katanya, masyarakat juga diminta tidak menuding jari berhubung isu itu seolah-olah menggambarkan madrasah tahfiz sebagai pengganas.

Mohd Zahid berkata, pihaknya difahamkan bahawa sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di madrasah itu mendapati bekas murid itu hanya dipukul di sebelah tapak kaki sahaja.

Sebelum ini, bekas murid madrasah tahfiz berkenaan, Mohd Thaqif Amin Mohd Ghadaffi, 11, kehilangan dua belah kakinya apabila terpaksa dipotong hingga paras paha selepas didakwa disebat oleh pembantu warden sekolah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 12:36 PM