FELDA Wani (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya menziarahi kubur  Mohamad Thaqif, semalam.
FELDA Wani (dua dari kiri) bersama ahli keluarganya menziarahi kubur Mohamad Thaqif, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: “Mungkin Thaqif dipilih Allah untuk mewakili rakan-rakan yang lain, kita tidak tahu ini semua perancangan Allah dan hanya Dia akan tunjukkan jalannya,” kata Felda Wani Ahmad, 40, semalam.

Ibu kepada murid Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghadaffi, 11, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman, Rabu lalu, berkata, dia reda dengan kejadian menimpa anaknya itu serta tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

Katanya, laporan polis yang dibuat bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, tetapi berdasarkan maklumat diterima daripada arwah anaknya itu.

“Saya sebagai ibu yang membawa dia (arwah) sakit ketika itu dan memberi kenyataan kepada doktor dan polis, malah sekarang ini masih bekerjasama dengan polis.

“Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan sama ada anak saya mempunyai penyakit atau tidak, biar pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping Timur, di sini, semalam.

Felda Wani berkata, tindakan dilakukan keluarganya bukan bertujuan menyalahkan tahfiz berkenaan terutama sekali selepas arwah meninggal dunia.

“Kita (keluarga) bukan nak tuding jari kepada sesiapa, malah saya tidak salahkan madrasah cuma siasatan sedang dijalankan selain masih menunggu laporan doktor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 6:41 AM