NAJIB (barisan depan, lima kanan) bergambar bersama penerima peruntukan. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (barisan depan, enam kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB (barisan depan, lima kanan) bergambar bersama penerima peruntukan. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (barisan depan, enam kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengagihkan peruntukan RM80 juta kepada 819 sekolah pondok berdaftar dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) serta institusi tahfiz di seluruh negara.

Najib berkata, RM50 juta diagihkan kepada sekolah pondok berdaftar dan SMAR bagi tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan manakala RM30 juta disalurkan kepada penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

"Selain itu, insentif khas sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Replika Cek Bantuan Peruntukan Kepada Sekolah Pondok, SMAR dan Institusi Tahfiz Berdaftar oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan menguruskan pengagihan peruntukan tersebut.

Buat masa ini, 129 sekolah pondok, 99 SMAR dan 591 institusi tahfiz berdaftar menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:55 AM