Status di FB madrasah berkenaan hari ini.
Status di FB madrasah berkenaan hari ini.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) mendakwa tertekan dengan pelbagai tohmahan, ugutan dan kecaman dilemparkan sejak dua minggu lalu.

Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, ramai mencemuh tindakan pengurusan menggaji pembantu warden yang memiliki rekod jenayah di madrasah itu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan pernah berkongsi sejarahnya sebelum diterima bekerja.

"Kami dapati dia ikhlas dan jujur untuk memperbaiki kehidupannya.

"Kami dimaklumkan bahawa dia diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.

"Sebagai ahli masyarakat, adakah kami tidak boleh memberi peluang kedua untuk dia dan sepanjang berkhidmat, dia menjalankan tugas dengan baik," katanya menerusi status di laman sosial Facebook (FB) madrasah berkenaan hari ini.

Mohammad Afdhaluddin berkata, pihaknya tidak berniat membela pembantu warden yang ditahan polis bagi membantu siasatan namun menjelaskan perkara sebenar.

Beliau berkata, ia juga bukan untuk membela pembantu warden ketika memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar menggunakan getah paip.

"Buat pertama kalinya kenyataan seumpama ini dilakukan kami untuk mereka yang ingin mendengar atau mengetahui penjelasan sebelum berkata atau mengulas berkaitan isu ini.

"Percayalah, ia bukan seperti yang anda gambarkan dan kami mempunyai bukti kejadian dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ia sudah diserah kepada polis.

"Terdapat banyak lagi perkara yang mungkin tidak terjawab menerusi kenyataan ini namun anda boleh mengetahuinya menerusi hasil siasatan pihak berkuasa," katanya.

Sebelum ini, bekas murid madrasah tahfiz berkenaan, Allahyarham Mohd Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, kehilangan dua belah kakinya apabila terpaksa dipotong hingga paras paha selepas didakwa disebat oleh pembantu warden sekolah itu.

Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman, Rabu lalu,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:05 PM