Siti (kiri sekali) memotong riben perasmian bersama tetamu VIP lain dan hadir sama Aaron bersama isterinya, Diyana Halik. FOTO RF
Siti (kiri sekali) memotong riben perasmian bersama tetamu VIP lain dan hadir sama Aaron bersama isterinya, Diyana Halik. FOTO RF
Roslen Fadzil


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Dirgahayu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjadi antara selebriti terkenal yang diberi penghormatan merasmikan cawangan butik terbaru Lord's 1974 di The Gardens Mall, Mid Valley, hari ini.

Siti yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, memotong riben merah di pintu butik eksklusif itu bersama pereka fesyen ternama Datuk Jimmy Choo, supermodel Amber Chia, pemuzik Dennis Lau serta pemilik Lord's 1974 sendiri, Robert Loh.

Siti ketika ditemui berkata, beliau sudah lama mengenali pemilik Robert dan isterinya, Lily Loh malah mengagumi kejayaan Lord's 1974 yang menjadi pilihan ramai selebriti, tokoh pemimpin serta golongan korporat.

"Lord's sangat mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggannya. Kejayaan Lord's selama ini mampu membanggakan Malaysia," kata Siti.

Selain merasmikan butik berkenaan, Siti turut mendendangkan lagu Can't Take My Eyes Off Of You dan Aku Cinta Padamu sementara seorang lagi artis undangan, Arja Lee pula menyanyikan lagu Tunggu Sekejap.

Turut hadir di majlis itu beberapa lagi artis termasuk Datuk Hans Isaac, Aaron Aziz, Jason Godfrey dan Ryzal Jaafar.

Lord's 1974 yang diasaskan pada 1974 cukup terkenal dengan rekaan sut hebat serta fesyen tempahan khusus buat lelaki yang kemas. Jenama itu juga kerap menaja pelbagai acara karpet merah di Malaysia.

Antara pelanggannya termasuklah bekas peninju dunia, Allahyarham Muhammad Ali, aktor Hollywood Mel Gibson, aktor Bollywood Datuk Shah Rukh Khan serta jaguh badminton dunia Datuk Lee Chong Wei.

Selain memiliki butik di Mid Valley, Lord's 1974 yang dulunya dikenali sebagai Lord's Tailor juga mempunyai cawangan di Bangsar Shopping Centre dan Pavilion Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 10:19 PM