TASHA Shilla dan Faradhiya bersama pemilik Dressing Paula serta individu penting jenama itu diapit barisan model yang terbabit dalam pertunjukan koleksi baru butik berkenaan.
TASHA Shilla dan Faradhiya bersama pemilik Dressing Paula serta individu penting jenama itu diapit barisan model yang terbabit dalam pertunjukan koleksi baru butik berkenaan.
TASHA Shilla dan Farahdhiya mengenakan koleksi Dressing Paula.
TASHA Shilla dan Farahdhiya mengenakan koleksi Dressing Paula.
GAUN labuh dipadankan jaket ini sesuai buat si dia yang feminin.
GAUN labuh dipadankan jaket ini sesuai buat si dia yang feminin.

Barangkali ramai menyangkakan label ini adalah jenama antarabangsa berdasarkan pemilihan nama Dressing Paula, selain konsep butiknya yang menampilkan koleksi rekaan terinspirasi daripada perubahan empat musim.

Sempena pembukaan cawangan barunya, Dressing Paula mendedahkan koleksi terkini menerusi Pertunjukan Fesyen Musim Bunga/Panas 2015 yang menampilkan aktres popular tempatan Tasha Shilla dan Farahdhiya sebagai jemputan khas dan diacarakan Aishah Sinclair.

Mengkhusus kepada pakaian kasual wanita, cawangan baru berkeluasan lebih 100 meter persegi di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur itu turut menawarkan koleksi sedia pakai dan aksesori wanita.

Bercakap mengenai koleksi terbaru jenama ini, ia menampilkan potongan klasik dengan sentuhan moden, selaras dengan slogan Dressing Paula iaitu ‘Women Before Clothes’.

Menggabungkan pakaian ruji dengan reka bentuk dan warna minimalis, koleksi ini dilihat turut menggunakan bahan fabrik seperti jacquard, sutera, neoprene, sifon, jaring, tweed dan elemen satin dengan padanan warna asas pastel, nude, kelabu, putih serta biru gelap.

Bertemakan musim bunga, rekaan terkini Dressing Paula menampilkan corak flora timbul, paisley dan strok berus abstrak.

Untuk gaya ‘edgy’, koleksi ini juga menggabungkan petak geometri dan cetakan tipografi metalik.

Busana utama daripada koleksi ini termasuk pakaian klasik flora yang boleh disuai padan untuk tampil sesuai waktu kerja atau kasual.

Ini termasuk gaun A-line dan skirt dalam kedua-dua cetakan bunga dan cetakan berimpak yang lebih berani dan potongan feminin yang sesuai untuk semua bentuk badan.

Selain itu, koleksi ini juga termasuk jaket serta top potongan lurus yang boleh digayakan bersama skirt potongan dan celana.

Jika mahu ke pejabat atau majlis formal, kemeja sifon berkolar item harus dimiliki wanita celik fesyen. Sementara bagi mereka yang berani, gaun simetri yang mampu mencipta ilusi pada tubuh selain menayangkan sepasang kaki yang cantik boleh didapati di butik ini.

Buat si dia yang masih ingin kelihatan elegan dalam persalinan yang santai, skirt A-line berlisu dengan bunga timbul, gaun panjang berlisu dan seluar pendek jacquard sesuai untuk bersiar-siar secara kasual pada siang hari.

Koleksi Musim Bunga/Panas 2015 ini bermula daripada harga RM59.90 sehingga RM189.90.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 11:49 AM