LORDE terus mendapat pengiktirafan.
LORDE terus mendapat pengiktirafan.
Georgie Joseph

Mencipta fenomena di seluruh dunia pada 2013, pencapaian penyanyi kelahiran New Zealand ini akan sentiasa diingati.

Lorde, 21, atau nama sebenarnya Ella Yelich-O’Connor membuktikan pada usia muda dia antara penulis lagu sangat berkaliber.

Lorde turut mendapat pujian ramai pemuzik di seluruh dunia yang menyanjung karyanya. Tiada siapa boleh menafikan bakatnya dan namanya terus meningkat di Amerika Syarikat.

Terbaru, lagu berjudul Royals yang berjaya menaikkan namanya turut disenaraikan dalam Top 100 lagu terbaik abad ke-21, sekali gus menjadikan dia satu-satunya penyanyi dari New Zealand yang pernah menerima pengiktirafan itu.

Royals menduduki tangga kesembilan dalam senarai berkenaan untuk edisi Julai 2018. Penilaian untuk kelayakan itu dibuat menerusi undian penerbit muzik, pengkritik dan pengamal industri.

Bagi senarai berkenaan, semua penilaian itu menumpukan kepada lagu yang diterbitkan sejak 2000 sehingga sekarang.

Menerusi ulasan dalam majalah Rolling Stone, pesona yang dibawa Lorde dalam lagu berkenaan sememangnya memberi impak besar di seluruh dunia.

“Barangkali ia antara lagu terbaik dalam era moden yang ditulis dalam masa setengah jam saja oleh remaja berusia 15 tahun dari Auckland, New Zealand ketika itu.

“Ia lagu yang sangat relevan memandangkan dunia kini penuh dengan ketidakadilan. Dia menulis mengenai hak yang mereka patut ada, apa lagi berada ribuan batu dari Wall Street serta pusat budaya pop dunia.

“Lorde tampil dengan nama yang sangat unik dan kritikannya terhadap kemewahan begitu lantang. Menurutnya, isu alkohol mahal, baju mewah dan kereta mahal memang gah tapi ia semua sampah,” tulisnya.

Selain Royals, beberapa lagu yang turut tersenarai adalah Toxic nyanyian Britney Spears, Sorry (Justin Bieber), Crazy in Love (Beyonce) dan banyak lagi.

Sementara itu, Lorde bakal hadir buat pertama kali di Malaysia pada 22 Julai ini bagi menjayakan Good Vibes Festival 2018.

Penyanyi itu akan membuat persembahan penutup pada hari terakhir festival berkenaan di Red Stage, The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands.

Selain Lorde, beberapa artis tempatan dan luar negara termasuklah Alt-J, Honne, Noh Salleh, Froya, Bil Musa, Odesza, Nick Murphy Fka Chet Faker, Majid Jordan, Dangerdisko (Live), Emir Hermono, Jhin, Dan Shiv, Senna, Mass Music, Fatim, dan DJ Nesh turut beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:22 PM