BADE masih bersemangat hasilkan filem patriotik walaupun Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior kurang sambutan.
BADE masih bersemangat hasilkan filem patriotik walaupun Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior kurang sambutan.

Nama pengarah handalan Bade Azmi tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang seni tanah air.

Sepanjang lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang perfileman, Bade yang juga pengarah fotografi sudah mengarahkan puluhan filem dan drama serta memenangi pelbagai anugerah.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) menerusi filem KL Menjerit ini juga sudah menghasilkan filem pecah panggung seperti KL Menjerit 1, Gangster, Castello dan Berlari Ke Langit.

Antara filem arahannya yang turut mendapat sambutan ialah Bilut, Maut dan Syaitan.

Kali terakhir dia mengarah ialah menerusi filem Isyarat Cinta lakonan Liyana Jasmay, Adi Putra dan Fizo Omar pada 2015.

Terbaru, Bade kembali dengan filem genre drama dan aksi Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior yang ditayangkan pada 16 Mac lalu.

Filem edaran Empire Film Solution Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon seperti Langgi anak Kanang, Mampi anak Limbi, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz, Johan As’ari.

Bagaimanapun, filem ini tidak mencapai kutipan pecah panggung seperti yang diharapkan Bade kerana hanya mampu mencecah kutipan tidak melebihi RM300,000.

Bade mengakui kecewa filem itu tidak mendapat sambutan daripada penggemar filem tempatan.

Wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) menemu bual Bade untuk berkongsi pandangan dan luahan hatinya mengenai kegagalan filem itu serta berkongsi perkembangannya dalam bidang seni.

RAP: Anda kecewa dengan kutipan filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior. Kenapa ia terjadi?

BADE: Saya kecewa dengan kutipan filem ini yang tidak seperti diharapkan sama seperti penerbit filem tempatan lain. Sebagai pengarah, saya serius dan sudah berusaha menghasilkan filem bercorak biografi seperti Kanang Anak Langkau ini mudah untuk didekati dan difahami penonton. Namun, saya reda bila ia tidak berjaya seperti diharapkan.

RAP: Pada pandangan anda apakah faktor yang menyumbang kepada kegagalan filem itu di pawagam tempatan?

BADE: Saya melihat rakyat Malaysia belum lagi ke arah menonton filem tempatan. Selain itu, promosi filem luar jauh lagi besar dan hebat serta tidak dikawal langsung.

RAP: Adakah kegagalan filem ini kerana kurangnya promosi terutama kepada generasi muda?

BADE: Sebenarnya filem ini mendapat maklum balas yang sangat positif daripada penuntut universiti dan institut pengajian tinggi. Rata-rata memberi komen mereka menyukai filem ini. Cuma promosi kurang dalam kalangan orang awam terutama golongan muda.

RAP: Ada pihak yang mendakwa penghasilan filem Kanang tidak mencapai standard yang sepatutnya?

BADE: Saya menafikan dakwaan berkenaan. Namun, saya mengakui filem ini tidaklah sempurna kerana masih ada sedikit kekurangan perlu diperbaiki. Sememangnya filem bercorak biografi seperti Kanang Anak Langkau ini antara paling susah dihasilkan. Saya juga dapat maklum balas sangat positif daripada lima rakan rapat dalam hidup mendiang yang menyukai hasil filem ini. Mereka juga faham ada kekurangan sikit kerana bukan mudah untuk kita paparkan kisah hidup yang sebenar.

RAP: Mungkin kekangan bajet menyebabkan anda tidak dapat menghasilkan filem sejarah bertaraf antarabangsa?

BADE: Selaku pengarah berpengalaman, saya tidak pernah puas dengan filem yang dihasilkan dan tidak pernah cukup dari segi bajet pun. Selalunya pengarah menghasilkan filem ikut bajet yang disediakan. Walaupun dana kerajaan disediakan sebanyak RM3.5 juta tetapi ia tidak cukup untuk menghasilkan filem Kanang Anak Langkau. Saya dan penerbit filem ini, Zainal Fikri Mohd Dali masih perlu menambah modal sendiri untuk menampung kos pembikinan filem ini.

RAP: Adakah tarikh tayangan filem Kanang tidak sesuai dan bersaing dengan filem luar terutama filem Hollywood?

BADE: Bukan soal persaingan dengan filem Hollywood sebaliknya pihak bertanggungjawab perlu peka dengan tayangan filem Melayu di pawagam tempatan. Tidak sepatutnya empat filem Melayu ditayangkan serentak dalam tempoh sebulan. Filem Kanang Anak Langkau ditayangkan sama dengan J Revolusi dan Adiwira ketika itu dan ia tidak sepatutnya berlaku.

RAP: Adakah anda serik untuk mengarahkan filem biografi, sejarah atau patriotik selepas ini?

BADE: Saya sudah lebih 30 tahun mengarah filem. Istilah serik tidak pernah wujud dalam diri. Walaupun kutipan filem Kanang Anak Langkau tidak dapat balik modal pun, saya tidak pernah patah semangat untuk menghasilkan filem biografi, sejarah, patriotik selepas ini. Saya juga menantikan naskhah yang lebih mencabar.

RAP: Ada segelintir pihak mendakwa watak Langgi yang juga lakonan anak mendiang Datuk Kanang Anak Langkau tidak beri impak pada penonton?

BADE: Setakat ini, tiada lagi pihak yang beri komen negatif mengenai lakonan Langgi. Semua orang memuji watak dilakonkan kerana Langgi sudah berusaha menjiwai watak bapanya dengan baik kerana dia orang yang paling dekat dengan mendiang.

RAP: Selain mengarah filem, anda juga mengarah drama bersiri Mak Cun yang kini sudah memasuki musim ketiga dan bersiaran di TV3. Anda bangga dengan kejayaan dikecapi siri Mak Cun ketika ini?

BADE: Saya sudah mengarah Mak Cun dari musim pertama lagi dan sudah tahu jalan ceritanya. Saya anggap kejayaan siri Mak Cun sebagai rezeki dan cerita itu sudah memiliki pengikutnya tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 2:07 AM