TENGKU Iesta (kiri), Yusry (dua dari kiri) dan pengarah bersama, Ghaz Abu Bakar serta pelakon Cicakman 3.
TENGKU Iesta (kiri), Yusry (dua dari kiri) dan pengarah bersama, Ghaz Abu Bakar serta pelakon Cicakman 3.

Jika Hollywood muncul dengan pelbagai filem superhero seperti The Avengers, Spiderman, Iron Man, Thor dan banyak lagi, industri filem tempatan boleh berbangga dengan karya Cicakman.

Filem Cicakman terbitan KRU Studio bermula pada 2006 dan berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM6.7 juta.

Sekuelnya iaitu Cicakman 2: Planet Hitam yang diterbitkan dua tahun kemudian dan masih mengekalkan Saiful Apek sebagai Cicakman dan Datuk Aznil Nawawi (Professor Klon) mencatat kutipan sebanyak RM2.85 juta.

Selepas enam tahun, ia kembali dengan Cicakman 3 arahan dua sutradara iaitu Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar dan mula ditayangkan sejak 12 Mac lalu.

Dalam tempoh 10 hari tayangan filem lakonan Zizan Razak, Lisa Surihani, Bell Ngasri, Fizz Fairuz dan Rykarl Iskandar itu berjaya mencatat kutipan RM2.5 juta meskipun perlu berentap dengan dua filem blockbuster Hollywood iaitu Chappie dan Cinderella.

Diterbitkan tiga gabungan produksi iaitu KRU Studios, Grand Brilliance (GB) dan Astro Shaw, ikuti temu bual wartawan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN ([email protected]) bersama Yusry dan Penerbit Eksekutif GB, Tengku Iesta Tengku Alaudin mengenai pencapaian Cicakman 3 yang masih ditayangkan pawagam.

RAP: Tahniah untuk sambutan diterima Cicakman 3. Komen anda?

YUSRY: Terima kasih dan apa yang boleh dikatakan kejayaan ini adalah rezeki. Ditambah pula, tarikh tayangan Cicakman 3 juga sesuai.

Penayangan pada cuti persekolahan turut membantu pada kejayaan kutipan diraih ini, selain sokongan publisiti media yang memberi maklum balas positif untuk Cicakman 3 kepada penonton.

RAP: Pandangan anda mengenai acuan diguna pakai dalam penghasilan Cicakman 3?

YUSRY: Saya dapati masyarakat tempatan kini tidak boleh lari dengan elemen komedi. Jadi, pemilihan pelakon komedi untuk membintangi Cicakman 3 ini adalah tepat.

Masyarakat sekarang amat sukakan komedi dan syukur acuan yang diguna pakai ini menjadi dan Cicakman 3 mendapat sambutan baik di pawagam.

RAP: Jadi, apakah ini ‘formula’ untuk tarik penonton ke pawagam?

YUSRY: Soal kehendak penonton sebenarnya hingga kini pembikin filem tempatan belum pasti apa keinginan itu. Tetapi, usaha untuk menghasilkan filem yang lebih daripada biasa tetap dilakukan.

Namun, risiko tetap ada seperti kebarangkalian apa yang diketengahkan kurang disukai penonton. Apapun, yang penting sudah mencuba dan terserah penonton saja untuk menerima atau sebaliknya.

RAP: Adakah kelebihan Cicakman 3?

YUSRY: Dalam industri filem Melayu kini, banyak filem dihasilkan dan tidak semestinya Cicakman 3 saja yang dilihat sudah berjaya.

Pada saya kejayaan sesuatu filem termasuk diraih Cicakman 3 ini bergantung kepada ‘rencah’ yang cukup dalam karya dihasilkan.

Antaranya jalan cerita menarik, perjalanan kisah padat dengan elemen masyarakat dan barisan pilihan pelakon yang tepat membantu menarik penonton.

RAP: Perancangan filem lain selepas Cicakman 3?

YUSRY: Sebenarnya selepas Cicakman 3 dihasilkan, dengan keadaan pasaran filem tempatan kurang baik KRU Studios mengambil langkah berhenti seketika untuk terbitkan filem.

Bagaimanapun, melihatkan keadaan pasaran filem tempatan kembali pulih, kini apa yang mahu dicadangkan ialah kemunculan adiwira aksi dan lebih serius.

Ia sama sekali berbeza dengan Cicakman yang menjurus pada genre komedi. Apapun, sukar untuk bercerita lanjut mengenainya kerana masih dalam cadangan.

RAP: Pandangan Tengku Iesta mengenai kejayaan Cicakman 3?

TENGKU IESTA: Selaku salah satu penerbit filem ini, daripada maklum balas diterima kejayaan Cicakman 3 berpandukan jalan cerita kekeluargaan yang disukai penonton.

Gandingan Zizan, Lisa dan Rykarl sebagai satu keluarga disukai penonton kerana belum pernah filem adiwira dihasilkan mengangkat elemen kekeluargaan. Ia sesuatu yang baru dalam Cicakman 3.

RAP: Terdapat tiga penerbit dalam filem ini, jadi sejauh mana keserasian kerjasama itu?

TENGKU IESTA: Setakat ini, memang tiada masalah dalam kerjasama kerana sama ada GB, Astro Shaw mahupun KRU Studios, masing- masing tahu peranan dilakukan.

Kami bekerjasama sebagai satu pasukan penerbitan filem dan bukan pesaing. Bahkan, pembahagiaan soal keuntungan juga dibuat secara adil bersama.

Apapun, yang pasti kerjasama berjalan lancar dan hasilnya Cicakman 3 berjaya mencatat kutipan memberangsangkan dan penayangan di pawagam pun diharap dapat berlanjutan untuk minggu ketiga.

RAP: Projek lain GB selepas tayangan Cicakman 3?

TENGKU IESTA: Meskipun keadaan pasaran filem tempatan tidak menentu, GB tetap memikul cabaran terus berkarya dengan menerbitkan filem pelbagai genre yang menarik.

Antaranya yang akan muncul di pawagam nanti ialah filem Awek Kontrak, Rembat, Love Super Moon, Pekak, 7ujuh, Antara Satu dan Rock Bro! yang kini dalam pembikinan.

Apapun, kebanyakan filem dihasilkan ini sudah siap penggambaran dan kerja penerbitannya sekitar satu ke dua tahun yang lalu. Jadi, kini hanya tunggu tarikh tayangan mengikut ditetapkan pihak Syarat Wajib Tayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 1:04 PM