Khalid pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman, di sini, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Khalid pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman, di sini, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa iaitu Peter Chong, 54, diculik sebaliknya dia kini dikesan berada di Thailand.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Peter didapati menyeberangi sempadan Bukit Kayu Hitam dengan menaiki bas pada 6.30 pagi, 7 April lalu.

“Polis ada bukti gambar dia menaiki bas menyeberangi sempadan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan empat lagi individu yang diculik, Khalid berkata, hanya paderi, Raymond Koh, 62, yang dilaporkan hilang sejak 13 Februari lalu didapati dilarikan pihak tertentu.

“Siasatan terhadap kehilangan tiga lagi individu iaitu aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), Amri Che Mat, 43, paderi, Joshua Hilmy serta isterinya, Ruth pula tidak mempunyai sebarang bukti mereka diculik,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Kehilangan misteri lima individu terbabit didakwa kononnya diculik menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, terdapat badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyelesaikan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 6:55 PM