Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penculikan seorang paderi, Raymond Koh Keng Joo pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya menafikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes penculikan berkenaan.

“Kami memahami kebimbangan dialami oleh keluarga mangsa dan keprihatinan orang ramai terhadap kes ini. Namun masyarakat perlu faham bahawa kes penculikan membabitkan soal nyawa mangsa.

“Pihak polis perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan dan mendatangkan risiko terhadap nyawa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keng Joo dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya pada 13 Februari lalu.

Kali terakhir mangsa dilihat memandu kereta model Honda Accord berseorangan ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 3:50 PM