Banjir kilat di Persiaran Ampang Hilir, Kuala Lumpur (gambar atas) dan banjir kilat berhampiran SK Hulu Kelang, Selangor. FOTO ihsan bomba
Banjir kilat di Persiaran Ampang Hilir, Kuala Lumpur (gambar atas) dan banjir kilat berhampiran SK Hulu Kelang, Selangor. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Beberapa lokasi di sekitar pusat bandar ini dan Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak 3 petang tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung banjir kilat di enam lokasi sekitar pusat bandar ini.

"Lokasi yang terbabit adalah Taman Sri Rampai, Jalan Sentul, Batu Muda Tambahan, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Pudu berhampiran Hospital Tong Shin.

"Hujan lebat sejak jam 3 petang tadi menyebabkan air bertakung di enam lokasi terbabit menyebabkan kenderaan melalui laluan itu bergerak perlahan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima laporan banjir kilat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Kelang, di sini, berikutan paras air Sungai Kelang dan Sungai Gisir melimpah berikutan hujan lebat.

"Kejadian itu menyebabkan 10 rumah dinaiki air. Bagaimanapun, tiada mangsa diarahkan berpindah.

"Pada masa yang sama, banjir kilat turut menjejaskan laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Zoo Negara, di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:10 PM