HUJAN lebat menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan berdekatan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.
HUJAN lebat menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan berdekatan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Masalah tiada penghujung apabila kawasan perumahan berhampiran Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Gombak, di sini, sekali lagi ditenggelami banjir kilat, semalam.

Difahamkan, kejadian itu adalah bencana kali ketiga berlaku sejak Ahad lalu, selain kawasan sama sering dilanda banjir sejak beberapa tahun lalu.

Hujan lebat mengakibatkan lebih lapan kediaman tenggelam berikutan air sungai melimpah di kawasan berdekatan sekolah itu, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, hujan lebat bermula jam 3.30 petang itu menyebabkan aliran air dari Sungai Gisir ke Sungai Kelang yang terletak di kawasan berkenaan melimpah.

Katanya, kejadian menyebabkan kawasan itu dinaiki air setinggi 0.3 hingga 0.5 meter.

“Hujan lebat mengakibatkan aliran air dari Sungai Gisir mengalir dengan deras memasuki Sungai Kelang dan melimpah.

“Tebing sebelah kiri sungai yang rendah mengakibatkan limpahan air mengalir ke kawasan berdekatan sekolah. Laporan awal mendapati lebih lapan rumah dinaiki air,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:21 AM