AZHAR tiba untuk melihat jenazah anaknya Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bilik forensik di HSI, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AZHAR tiba untuk melihat jenazah anaknya Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di Bilik forensik di HSI, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Naluri bapa mana yang tidak sedih apabila anak terkorban dalam keadaan begini, namun saya reda dan hanya berserah kepada Allah.

"Kenangan bersama arwah akan dibawa sampai ke mati, perasaan sedih hanya disimpan dalam hati," kata bapa kepada anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Azhar Khaiden, 54.

Azhar berkata, dia menerima khabar duka pada 2.53 pagi hari ini daripada timbalan ketua balai polis berkenaan dan pada awalnya dia menjangka anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi, terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, dia terkilan apabila dimaklumkan anak keempat daripada lapan beradik itu sudah tiada akibat serangan yang berlaku di balai polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada isterinya, Nurhaliza Awaluddin, 50-an.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah adalah Ramadan lalu dan anaknya bercuti hampir dua minggu di kediaman keluarga di Bidor, Perak.

"Kami sekeluarga juga saling menghubungi dan selepas waktu Maghrib semalam arwah juga menghantar mesej seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.

"Dia tidak dapat pulang beraya kerana baharu bertugas sebagai anggota polis iaitu sejak dua tahun lalu di Johor selepas menamatkan latihan di Langkawi.

"Dia menyambut hari kelahiran pada Januari lalu dan segala kenangan bersamanya kekal di hati dan dibawa sehingga akhir hayat," katanya.

KAKAK Allahyarham, Norazah Asyaadah (dua, kanan) tidak dapat menahan sebak bersama keluarga lain sebaik tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSI hari ini. FOTO Bernama
KAKAK Allahyarham, Norazah Asyaadah (dua, kanan) tidak dapat menahan sebak bersama keluarga lain sebaik tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSI hari ini. FOTO Bernama

Azhar yang juga guru Matematik dan Sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelah Sungkai, Perak, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya dan yakin pihak berkaitan akan menjalankan siasatan.

"Saya tidak terkilan dia bekerja sebagai anggota polis, abangnya juga anggota polis di Sabah manakala adik perempuannya akan menghadiri sesi temu duga minggu depan dan diharap semua lancar.

"Arwah memang bercita-cita menjadi anggota polis sejak kecil, kita semua yang hidup, kehidupan ditentukannya.

"Kalau kita menangis air mata berdarah, orang yang pergi tetap pergi, kita kena terima dan teruskan kehidupan.

"Suspek pula sudah meninggal dunia, kita hanya serah berserah kepada Maha Esa untuk pengadilan di sana.

"Tindakan kita ambil bukan jalan penyelesaian, pihak berkuasa ada undang-undang dan juga pengadilan di sana. Saya tidak nafikan anak saya seorang yang baik," katanya.

Azhar berkata, pada awalnya keluarganya bercadang untuk membawa pulang jenazah pada hari ini namun atas faktor tertentu, urusan berkenaan diadakan esok.

"Dia akan dikebumikan di Perak dan saya berdoa supaya dia tenang di sana," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 9:51 PM