SEORANG penunggang motosikal meredah jalan raya yang dilanda banjir di  Mangga Dua di Jakarta, kelmarin. - Reuters
SEORANG penunggang motosikal meredah jalan raya yang dilanda banjir di Mangga Dua di Jakarta, kelmarin. - Reuters
Agensi

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yakin hanya program mengatasi banjir yang dilaksanakan pentadbirannya adalah satu-satunya jalan untuk menangani bencana yang sering melanda bandar itu.

Program itu termasuk projek pemuliharaan sungai, pembinaan tebatan banjir dan rumah pam di kawasan sekitar Jakarta.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok berkata, program itu sama seperti yang dilaksanakan di beberapa bandar di Belanda dan terbukti ia berjaya.

Katanya, seperti Jakarta, banyak bandar di Belanda terletak di bawah paras laut dan mudah dilanda banjir.

“Saya keliru sekiranya ada berpendapat ada cara lain mengatasi banjir tanpa melaksanakan pemuliharaan, pembinaan empangan, tebatan dan rumah pam di Jakarta,” katanya yang dipetik portal VIVA.co.id semalam.

Tambah Ahok, projek itu sebenarnya menyambung program yang diusahakan oleh gabenor Jakarta sebelum ini bagi mengatasi masalah banjir.

Sebagai contoh, katanya, program pemuliharaan di Empangan Pluit pada 2013 apabila Gabenor Jakarta ketika itu, Joko Widodo memindahkan penempatan setinggan di tebing sungai.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan sebahagian besar Jakarta banjir kelmarin dan mengakibatkan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, lebih 50 kawasan dilanda banjir kelmarin dengan air setinggi 1.5 meter direkodkan di Jakarta Timur.

Kata agensi itu, sistem perparitan bandar itu tidak mampu menampung air yang banyak dan sungai juga melimpah tebing.

Sehingga semalam seorang pekerja perbandaran dilaporkan maut di tengah Jakarta manakala seorang lagi lemas di Bekasi.

Banjir pada 2013 adalah terburuk yang direkodkan di bandar itu apabila menyebabkan lebih 20 orang muat dan puluhan ribu penduduk dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:16 AM