BASUKI Tjahaja Purnama bercakap kepada warwatan pada Ogos 2014. FOTO AFP
BASUKI Tjahaja Purnama bercakap kepada warwatan pada Ogos 2014. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama secara rasmi di namakan sebagai suspek berkait dengan dakwaan dia menghina agama Islam, semalam.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok, ialah penganut Kristian kedua dan etnik Cina pertama menjadi gabenor bandar raya berkenaan.

Dakwaan dia menghina Islam dalam satu kempen pilihan raya gabenor yang akan berlangsung Februari depan mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran baru-baru ini.

Selepas siasatan menyeluruh peringkat awal, polis semalam berkata, Ahok akan dibicarakan di mahkamah.

Ketua Detektif Polis Indonesia, Ari Dono memberitahu wartawan: “Basuki Tjahaja Purnama dinamakan suspek. Kami mencapai kata sepakat, walaupun tidak menyeluruh, bahawa kes ini akan dibicarakan di mahkamah.”

Ahok tidak akan ditahan tetapi polis mengarahnya supaya tidak meninggalkan Indonesia.

Menamakan seseorang sebagai suspek adalah langkah rasmi dalam sistem perundangan Indonesia.

Ini menggambarkan pihak berkuasa percaya terdapat bukti peringkat awal untuk memfailkan tuduhan terhadap seseorang.

Jika didapati bersalah, Ahok yang menjadi calon pilihan untuk memenangi pilihan raya itu, boleh dipenjara selama lima tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 1:13 PM