GAMBAR hiasan menunjukkan sekumpulan remaja berlumba di jalan raya Jakarta.
GAMBAR hiasan menunjukkan sekumpulan remaja berlumba di jalan raya Jakarta.
Agensi

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama menyambut baik rancangan polis yang mahu menjadikan jalan raya di bandar itu sebagai litar lumba sebagai cara mengatasi aktiviti lumba haram yang sukar dibendung.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok berkata, menjadikan perlumbaan jalanan sah di sisi undang-undang cara terbaik memastikan keselamatan mereka yang terbabit dalam aktiviti itu termasuk orang awam.

Katanya, perlumbaan haram sering menyebabkan kemalangan maut, tetapi berlumba di litar yang dikhaskan mampu mengurangkan risiko kemalangan.

“Jalan raya sangat bahaya untuk perlumbaan, tetapi jalan raya yang bakal dijadikan litar lumba ini akan dipasang dengan alatan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, jalan raya yang dipilih sebagai litar ini ditutup ketika perlumbaan dan pihak berkuasa tempatan serta polis bekerjasama mengaturkan jadual perlumbaan.

“Setiap pelumba diwajibkan memakai topi keledar dan jaket, serta penghadang keselamatan juga dipasang di litar,” jelasnya.

Ketua jabatan polis trafik Jakarta, Risyapudin sebelum ini memberitahu, pihaknya merancang menjadikan beberapa jalan di bandar itu sebagai litar lumba sebagai cara mengatasi masalah sosial itu.

Pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Motosikal Indonesia (IMI) untuk menganjurkan perlumbaan jalanan secara rasmi.

“Langkah ini susulan populariti perlumbaan motosikal yang meningkat terutama bagi golongan muda.

“Mereka (golongan muda) sering terbabit perlumbaan haram di jalan raya kerana ketiadaan litar untuk menunjukkan bakat masing-masing,” katanya.

Rancangan itu dijangka dilaksanakan Februari depan membabitkan beberapa jalan di Jakarta termasuk Benyamin Sueb di Kemayoran dan Asia Afrika di Senayan serta TMII di Jakarta Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:17 AM