Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Perak mengambil tindakan drastik menggantikan jurulatih pasukan Liga Super Vjeran Simunic dengan Datuk M Karathu berikutan prestasi kurang memuaskan jurulatih dari Croatia itu selepas dua bulan mengendalikan pasukan The Bos Gaurus.

Pengumuman pengguguran bekas jurulatih terbaik Liga S (Singapura) 2012 ketika mengendalikan pasukan DPMM Brunei itu memang dijangkakan berikutan ‘kehilangan’ Simunic dari pasukan sejak lebih dua minggu lalu.

Malah dalam tempoh itu Karathu kelihatan berada di tepi padang membantu latihan pasukan yang dikendalikan penolong jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

Sejak itu timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Simunic dan Karathu sambil Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memilih untuk membisu hinggalah membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan Karathu dibuat di pejabat persatuan itu, semalam.

“Demi pasukan, PAFA terpaksa bertindak terhadap Simunic selepas mendapat maklum balas daripada pemantau terdiri daripada pegawai pasukan, pemain dan individu tertentu.

“Tiada perkembangan positif yang dibawa sejak mengendalikan pasukan November lalu.

“Pencapaian Simunic ketika mengendalikan pasukan Piala Emas Perak turut dijadikan kriteria penggugurannya.

“Perak tidak pernah gagal melangkah ke suku akhir sejak beberapa musim lalu, tetapi malangnya di bawah kendalian jurulatih itu, Perak terkandas di peringkat kumpulan.

“PAFA tidak boleh terima alasan diberikan jurulatih itu bahawa dia tidak menurunkan pemain utama,” katanya.

Begitupun katanya, kontrak Simunic tidak ditamatkan malah PAFA berunding dengan jurulatih itu untuk jawatan sesuai kerana masih mempunyai kontrak hingga akhir Oktober.

Mengenai pelantikan Karathu, 71, yang kali terakhir mengendalikan pasukan Kelantan pada 2011, Zainol yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dibuat dengan persetujuan peminat nombor satu Seladang, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut menyarankan jawatan jurulatih merangkap pengurus pasukan.

“Selaku jurulatih beliau pasti lebih rapat dan mengenali pemain dan akan dapat bertindak lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Begitupun Zainol berkata, satu jawatankuasa pemantau yang turut dianggotai bekas pengurus Datuk Azhar Ahad akan membantu perjalanan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:08 AM