KARATHU (dua kanan) direhatkan serta-merta mulai semalam.
KARATHU (dua kanan) direhatkan serta-merta mulai semalam.
Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Selepas Terengganu, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak pula mengikut jejak dengan menyingkirkan jurulatih apabila merehatkan pengendali pasukan, Datuk M Karathu serta-merta mulai semalam.

Tugas mengendalikan pasukan The Bos Gaurus sepanjang baki empat perlawanan bermula pertemuan dengan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini akan dipikul penolong jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

Tindakan ke atas Karathu itu diambil Jawatankuasa Pengurusan Liga Super Perak - badan khas yang terdiri daripada ahli majlis eksekutif Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) serta tokoh-tokoh tertentu dan ia diputuskan berikutan pencapaian merudum Perak dalam empat perlawanan kebelakangan ini.

Keputusan negatif yang dicapai Perak mengakibatkan mereka kini menduduki tangga kelapan Liga Super walaupun pada satu ketika gah di kelompok tiga teratas.

Khabar mengenai tindakan ke atas jurulatih itu mula bertiup kuat selepas Perak tewas 0-2 di tangan FELDA United FC di Ipoh, Sabtu lalu.

“Keputusan memberi ‘cuti’ kepada Karathu oleh Jawatankuasa Pengurusan pasukan Liga Super Perak dibuat dalam mesyuarat malam kelmarin.

“Selepas menilai prestasi pasukan yang menyaksikan Perak tumpas dalam empat perlawanan berturut-turut, jawatankuasa memutuskan supaya Karathu bercuti buat sementara waktu.

“Abu Bakar Fadzim akan mengendalikan pasukan untuk menghadapi baki empat perlawanan bermula dengan Terengganu malam esok,” kata Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dalam sidang media di pejabat persatuan itu, tengah hari semalam.

Zainol menegaskan bahawa bukan beliau seorang yang membuat keputusan itu sebaliknya ia dibuat secara kolektif.

Musim ini, Karathu bukan jurulatih pertama menerima tindakan sama kerana sebelum ini Bojan Hodak, B Sathianathan, Azman Adnan, Abdul Rahman Ibrahim dan Mohd Azraai Khor masing-masing digugurkan oleh Johor Darul Ta’zim (Johor DT), ATM, PDRM, Terengganu dan Kelantan.

“Tindakan ini diambil demi kebaikan pasukan. Kita berharap Bakar dapat melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

“Kedudukan Karathu akan dikaji selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:20 AM