PENGGIAT seni yang hadir di sidang media.
PENGGIAT seni yang hadir di sidang media.
Ridzuan Abdul Rahman


Demam Festival Filem Malaysia mula melanda penggiat seni tempatan apabila pengumuman calon akhir Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM 28) diumumkan Rabu lalu.

FFM 28 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) serta disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan berlangsung pada 3 September ini jam 9 malam di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre dan turut disiarkan menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD.

Menerusi pengumuman itu, filem Ola Bola mendominasi apabila menerima 14 pencalonan termasuk dalam beberapa kategori utama.

Filem arahan Chiu Keng Guan yang mencatat kutipan RM15.85 juta ini mendapat pencalonan dalam kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Shivatharan Nambiar), Pelakon Baharu Wanita Terbaik (Marianne Tan), Pelakon Baharu Lelaki Terbaik (Saran Kumar) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Sri Balasubramaniam).

Tidak ketinggalan Ola Bola juga dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia, manakala Chiu Keng Guan disenaraikan dalam kategori Pengarah Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Filem pecah panggung, Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang meraih kutipan RM17.47 juta pula mendapat 10 pencalonan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Shaheizy Sam dan Zizan Razak), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Hushairi Husain) dan Lakon Layar Terbaik FFM 28.

Filem ini turut menerima pencalonan sebagai Filem Terbaik FFM 28 dan Ghaz juga dicalon sebagai Pengarah Terbaik FFM 28.

Syamsul Yusof pula sekali lagi menunjukkan kehebatannya apabila filem Munafik berjaya memperoleh sembilan pencalonan menerusi kategori Filem Terbaik FFM 28, Pengarah Terbaik FFM 28, Pelakon Wanita Terbaik (Nabila Huda), Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik dan Kesan Visual Khas Terbaik.

Filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal dan The Kid From The Big Apple arahan Jess Teong juga mencipta sejarah tersendiri apabila turut menerima sembilan pencalonan.

Kejayaan turut dirintis Pekin Ibrahim apabila filem pertama arahannya, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit mendapat lapan pencalonan dalam kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik (Falisha Crosley), Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Bahkan Pekin sendiri dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Baharu Terbaik.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw Najwa Abu Bakar mengakui tidak menjangkakan Ola Bola mendominasi pencalonan.

“Ola Bola dan Polis Evo masing-masing ada banyak pencalonan dan ini sungguh hebat. Kalau dilihat kesungguhan produksi, mereka bertungkus-lumus buat yang terbaik.

“Ini tanda aras baru untuk industri perfileman tempatan. Calon lain juga tidak kurang hebatnya dan saingan kali ini sangat sengit,” katanya.

Sambung Najwa lagi, senarai pencalonan memberi harapan buat pendatang baru dalam industri perfileman tanah air.

Sementara itu Pekin mengakui terkejut karya garapannya mendapat perhatian juri profesional.

“Ini filem pertama saya dan tidak terlintas ia layak mara ke FFM 28.

“Menang atau tidak, saya tidak kisah kerana akan terus berkarya selepas ini. Buat filem adalah kerja saya. Sekarang saya berjinak-jinak dengan penerbitan filem pula.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Yusof Haslam dan Syafiq Yusof kerana beri peluang saya menghasilkan Mat Moto,” katanya.

Manakala Syamsul pula mengakui impiannya untuk melihat tenaga kerja filem Munafik dicalonkan dalam FFM akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya tidak terkejut apabila Nabila dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik kerana dia memang aktres yang hebat.

“Soal kenapa nama saya tidak disenarikan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, saya tak boleh beri sebarang komen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:38 AM