ANTARA karyawan seni yang hadir pada sidang media FFM26.
ANTARA karyawan seni yang hadir pada sidang media FFM26.
Oleh Georgie Joseph


Subang Jaya: Anugerah filem berprestij Festival Filem Malaysia Ke-26 akhirnya diumumkan bakal berlangsung di Seremban pada 1 November ini.

Selepas tertangguh beberapa kali, majlis anugerah berkenaan bakal disiarkan dari Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad pada jam 9 malam secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) serentak di Maya HD (Astro 135) serta TV2 sebagai penyiar rasmi.

Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Dr Megat Al-Imran Yasin berkata, pemilihan lokasi berkenaan kali ini tidak lain tidak bukan untuk memberi peluang kepada peminat di sana merasai sendiri suasana acara terbabit.

Turut mengulas mengenai dakwaan sebuah artikel berhubung FFM26 semakin mengarut daripada segi pencalonan, pengarah festival itu Mohd Zulkifli Ab Wahab pula berkata, hal itu di luar bidang kuasa mereka lantaran ia keputusan panel juri profesional.

"FINAS memang tidak terbabit dalam sebarang keputusan penjurian. Keputusan itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada panel juri dan semestinya mereka bebas menentukan serta ada hak membuat keputusan demikian.

"Biasalah dalam hal sebegitu, pasti ada yang akan berpuas hati dan sebaliknya. Namun perlu akur kerana ia keputusan juri profesional," katanya di sini, petang tadi.

Berkonsepkan 'Black Tie', acara berkenaan akan turut diserikan artis besar termasuklah Datuk M Nasir, Mamat Khalid, Adira, Tomok, Hafiz Suip, Misha Omar, Awie dan ramai lagi.

Persembahan merangkumi nyanyian lagu-lagu runut bunyi daripada era 1960-an sehingga terkini.

Sebanyak 113 buah filem dipertandingkan dalam 31 kategori tahun ini dan antaranya KL Gangster 2, KIL, Penanggal, Rock Oo!, dan Sembunyi: Amukan Azazil yang bertanding untuk kategori Filem Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 10:12 PM