Noor Hidayah Tanzizi


Bota: Tindakan berani seorang remaja lelaki menyelamatkan wanita dan anaknya selepas kereta dinaiki mereka itu terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah, 17 Mac lalu mendapat penghargaan polis hari ini.

Sijil penghargaan sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 kepada Mohammad Amirul Aiman Zailani, 17, disampaikan Timbalan Ketua Polis Perak Tengah Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail.

Mohammad Amirul Aiman berkata, dia terharu menerima sijil berkenaan dan mengakui ikhlas membantu wanita berkenaan bersama anaknya walaupun dirinya turut berisiko kerana hujan lebat ketika kejadian.

"Saya tak tergamak meninggalkan wanita itu bersama anaknya apatah lagi ketika itu hujan sangat lebat dan arus juga deras. Sebab itu tanpa berlengah saya terus terjun ke tali air untuk selamatkan mereka.

"Saya bersyukur kami selamat, cuma saya agak sedih kerana tidak dapat membantu seorang lagi anak wanita itu yang masih berada dalam kereta," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini, hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Seberang Perak dari Teluk Intan bersama ibu dan kakaknya.

Menurutnya, kereta mereka ditahan seorang lelaki yang meminta bantuan untuk menyelamatkan dua mangsa yang sudah keluar melalui tingkap kereta manakala kenderaan mereka sudah tenggelam.

Mohd Uzir (tengah) bersama Mohammad Amirul Aiman (dua kanan) dan Megat Mohd Dahari (dua kiri) dan Mohamad Badrun (kiri) pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Perak Tengah di Seri Iskandar, Bota hari ini. Foto Noor Hidayah Tanzizi
Mohd Uzir (tengah) bersama Mohammad Amirul Aiman (dua kanan) dan Megat Mohd Dahari (dua kiri) dan Mohamad Badrun (kiri) pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Perak Tengah di Seri Iskandar, Bota hari ini. Foto Noor Hidayah Tanzizi

Katanya, lelaki berkenaan memberitahu dia tidak pandai berenang dan saya terus terjun untuk membantu mangsa dan ibu, Roslinah Osman, 47, tidak melarang tetapi memintanya berhati-hati.

"Saya berenang sebelum dapat memegang kakak itu, manakala anaknya berpaut padanya. Lelaki itu yang menunggu di darat segera mencampakkan tali dan membantu menarik kami ke darat," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Katanya, wanita berkenaan memberitahu seorang lagi anaknya masih berada dalam kereta, namun dia tidak dapat membantu kerana kereta mereka sudah tenggelam ketika itu.

Selain Mohammad Amirul Aiman, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diwakili Megat Mohd Dahari Megat Jamaludin dan enam anggota BBP Teluk Intan diwakili Mohamad Badrun Mohd Said yang terbabit operasi berkenaan turut menerima sijil penghargaan.

Mereka antara 110 individu di daerah ini termasuk anggota polis menerima sijil berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam kereta ibunya yang terbabas ke dalam tali air ditemukan lemas.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis, 5, bersama adik perempuannya berusia empat tahun menaiki kereta Honda City dipandu ibu mereka berusia 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 11:00 AM