ASHLEY bersama AirAsia Allstars Esports Club.
ASHLEY bersama AirAsia Allstars Esports Club.
Afiq Hanif


Di sebalik wajah cantik, manis dan malu-malu, tidak ramai menyangka gadis berusia 27 tahun, Ashley Boay sebenarnya kaki game khusus dalam permainan Dota 2, game yang terkenal sinonim dengan lelaki.

Beliau menyahut cabaran bermain game strategi yang hebat tetapi tidak menyangka bermulalah detik serius bermain Dota 2 selepas memulakan kerjaya bersama syarikat penerbangan AirAsia.

“Bermula daripada sekadar suka-suka, ia menjadi serius selepas dicabar namun saya tidak sangka boleh pergi jauh dalam bidang permainan komputer,” katanya ketika ditemui IT@Metro selepas majlis yang menyaksikan AirAsia menaja acara World Electronic Sports Games (WESG) di ASEAN sebagai syarikat penerbangan rasmi.

WESG, kejohanan sukan elektronik antarabangsa dianjurkan Alisports iaitu cabang syarikat Alibaba Group.

Sebagai penaja utama, jenama AirAsia akan disepadukan dalam platform digital dan acara kejohanan WESG di negara ASEAN.

Lebih menarik, AirAsia mempunyai kelab e-sukannya tersendiri melalui AirAsia Allstars Esports Club yang disertai Ashley.

“AirAsia adalah pekerjaan pertama saya, namun saya tidak sangka mampu melakukan aktiviti begini selepas waktu kerja.

“Kami akan berkumpul sama ada di ruang kelab atau di rumah masing-masing dan membuka PC kemudian bermulalah aktiviti pertarungan,” katanya tersenyum apabila ditanya mengenai aktiviti selepas waktu kerja.

Katanya, sekurang-kurangnya dua jam sehari selepas waktu kerja dihabiskan untuk bermain game ini setiap hari.

ASHLEY jatuh cinta dengan e-sukan.
ASHLEY jatuh cinta dengan e-sukan.

“Saya seimbangkan masa kerja dan aktiviti bagi membolehkan kehidupan ini lebih ceria.

“Malah, ia masa untuk mengenali staf lain yang turut mempunyai hobi yang sama,” katanya.

Sejak menyertai kelab ini tahun lalu, Ashley sudah menyertai dua pertandingan game utama namun pencapaian terbaiknya masih ditagih.

“Saya pernah mara ke suku akhir namun saya perlu bekerja keras jika mahu menang dan melangkah lebih baik dalam e-sukan,” katanya.

Penyertaan AirAsia dalam e-sukan menyaksikan syarikat penerbangan itu berpeluang untuk menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan sampingannya pada acara terbabit seperti kedai online, ejen penjualan tiket dan lain-lain.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, dari segi peminat e-sukan, ASEAN adalah salah satu rantau yang berkembang pesat di dunia dengan 9.3 juta peminat dan jumlah ini dijangka bertambah 36.1 peratus pada setiap tahun hingga 2019.

“Sebagai sebuah syarikat digital yang inovatif, kami berbesar hati menjadi penaja utama dan berharap untuk menyumbang kepada e-sukan dengan menyokong atlet e-sukan profesional di ASEAN bersaing di kejohanan global.

“Kami juga percaya penajaan ini akan meletakkan kami di barisan hadapan sebagai penyumbang kepada perkembangan e-sukan di ASEAN,” katanya.

Presiden Kelab AirAsia Allstars Esport, Allan Phang berkata pada Januari, ia memulakan pembabitan dalam e-sukan sebagai penaja dan rakan kongsi penerbangan eksklusif Mineski Pro Team.

“Dua bulan kemudian, kami menjadi pemilik majoriti Team Saiyan, antara satu pasukan profesional peringkat tertinggi dalam e-sukan dan menjenamakannya semula kepada AirAsia Saiyan.

“Hari ini, kami bangga kerana dapat membawa WESG ke ASEAN dan terus menyokong bakat e-sukan di rantau ini,” katanya.

AIRASIA Allstars Esports Club.
AIRASIA Allstars Esports Club.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 1:22 PM