PETUGAS SYABAS mengunci laluan air ketika operasi membanteras penyambungan bekalan air haram di  tapak pembinaan pangsapuri di Taman Sri Rampai.
PETUGAS SYABAS mengunci laluan air ketika operasi membanteras penyambungan bekalan air haram di tapak pembinaan pangsapuri di Taman Sri Rampai.

Kuala Lumpur: Kemusykilan penduduk berhampiran tapak pembinaan apartmen 35 tingkat di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, yang berdepan masalah tekanan air rendah terjawab apabila kontraktor pembinaan apartmen itu rupa-rupanya membuat penyambungan air secara haram sehingga menyebabkan berlakunya masalah berkenaan.

Tembelang kontraktor itu terbongkar selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyerbu tapak pembinaan berkenaan, semalam dan mengesan kewujudan sambungan paip secara haram di situ.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN Loh Pit Mui berkata, siasatan awal mendapati kerugian daripada penipuan itu dianggarkan sebanyak RM44,000 sejak ia dilakukan tiga tahun lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua sambungan bekalan air tidak sah menggunakan paip yang disambung dari paip utama SYABAS ke tapak pembinaan.

“Sambungan air yang dicuri itu dipercayai untuk kegunaan harian kerja pembinaan dan rumah kongsi pekerja di situ,” katanya.

Katanya, kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:03 AM