ABDUL Raof (duduk, kiri) dan Loh (duduk kanan) menunjukkan sambungan haram dilakukan kontraktor tapak pembinaan dalam operasi SPAN di Jinjang Utara, Kepong, hari ini. FOTO Supian Ahmad
ABDUL Raof (duduk, kiri) dan Loh (duduk kanan) menunjukkan sambungan haram dilakukan kontraktor tapak pembinaan dalam operasi SPAN di Jinjang Utara, Kepong, hari ini. FOTO Supian Ahmad
Siti Salmiah A Hamid dan Awaina Arbee


KONTRAKTOR bagi projek infrastruktur pengangkutan awam di Jinjang Utara, Kepong dikesan mencuri air untuk digunakan bagi pembinaan berkenaan sejak dua tahun lalu menyebabkan kerugian berjumlah RM257,448.34 kepada syarikat pembekal sumber air terbabit.

Perbuatan itu terbongkar apabila tapak projek itu diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 12 tengah hari, hari ini susulan aduan dibuat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, SPAN menemui satu sambungan paip secara haram menggunakan paip HDPE berukuran 32 milimeter (mm) disambungkan kepada 300mm sedia ada yang digunakan untuk membekalkan air ke tapak terbabit.

“Sambungan haram itu dipercayai bagi kegunaan kerja pembinaan, aktiviti harian pekerja selain mencuci tayar lori yang keluar masuk dari tapak pembinaan.

“Malah, hasil ujian klorin yang dijalankan, kami dapati bekalan air digunakan adalah bekalan air terawat,” katanya pada kumpulan media selepas serbuan berkenaan, hari ini.

Loh berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu tiada sesiapa pun boleh membuat apa-apa sambungan ke saluran utama atau paip operator air tanpa sebarang kelulusan atau persetujuan.

Beliau berkata, mereka yang melanggar akta itu di bawah Seksyen 123(1) boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Kami berharap melalui siasatan ini, orang ramai akan sedar tindakan mereka untuk tidak melakukan kecurian air dan penyambungan paip tidak sah tanpa membayarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, dianggarkan sebanyak 112,915 meter padu air terawat dicuri dalam tempoh 673 hari.

“Siasatan dijalankan dalam tempoh dua minggu selepas kami menerima aduan mengenai kecurian air.

“Air Selangor ingin mendesak orang ramai untuk memaklumkan kepada kita sebarang kegiatan haram sedemikian. Sehingga hari ini, sebanyak 16 kes kecurian air berlaku sejak Januari lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:25 PM